BUENOS AIRES: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni meluahkan permohonan maaf kepada penyokong negaranya selepas gagal membantu skuad La Albiceleste mempertahankan kejuaraan Piala Dunia 2026.
Seminggu selepas kekalahan menyakitkan kepada Sepanyol pada aksi final, Scaloni tampil dengan kenyataan panjang penuh emosi bagi merenung perjalanan Argentina yang disifatkannya dipenuhi kebanggaan, namun berakhir dengan kekecewaan.
Scaloni yang terkenal dengan sikap tidak gemar berada di hadapan kamera berkata, situasi itu memerlukan dia berhubung secara terus dengan penyokong yang terus memberikan sokongan sepanjang kempen di Amerika Utara.
Mengakui tujuh hari terakhir memberi kesan besar dari segi emosi, Scaloni berkata dia akhirnya bersedia meluahkan perasaannya kepada peminat menerusi media sosial walaupun bukan platform yang sering digunakannya.
"Selepas seminggu yang penuh emosi, antara kesedihan dan kegembiraan, air mata dan senyuman, keresahan dan ketenangan, akhirnya saya boleh duduk dan menulis beberapa perkataan.
"Walaupun kamu tahu saya bukan peminat media sosial, mungkin ini cara terbaik untuk saya sampai kepada kamu semua," katanya.
Intipati utama kenyataan Scaloni adalah rasa tanggungjawab besar terhadap jutaan penyokong Argentina yang mengharapkan pasukan itu mengulangi kejayaan menjulang trofi pada 2022.
Dia tidak berselindung di sebalik alasan taktikal atau faktor luar, sebaliknya memohon maaf kerana gagal menghadiahkan trofi yang dinanti-nantikan rakyat Argentina.
"Saya hanya boleh berkata maaf kerana tidak mampu membawa satu lagi trofi dan memberikan kegembiraan baharu kepada kamu semua, walaupun hanya untuk beberapa hari yang mungkin membuatkan kamu melupakan perkara buruk dalam kehidupan," katanya.
Bagaimanapun, Scaloni menegaskan kegagalan meraih kejuaraan tidak seharusnya menenggelamkan karakter serta semangat juang pemainnya yang disifatkan sebagai "pahlawan" sepanjang kejohanan.
Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata legasi generasi pemain Argentina ketika ini tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan trofi, sebaliknya melalui usaha, keazaman dan kesanggupan mereka berjuang ketika berdepan tekanan hebat.
"Usaha, keinginan, kemahuan, keyakinan bahawa saya mampu, enggan berputus asa walaupun keadaan sukar, memberikan segala-galanya walaupun tiada lagi tenaga, menghadapi kritikan keras serta terus melangkah ketika kaki tidak lagi mampu mengikut fikiran.
"Itulah trofi sebenar," katanya.
Di penghujung kenyataannya, Scaloni turut mengucapkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan, pemain, kakitangan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) serta semua individu yang bekerja di belakang tabir, namun dia masih belum menjelaskan masa depannya bersama skuad kebangsaan dengan kontraknya akan berakhir Disember ini.
























