LONDON: Pengadil final Piala Dunia 2026, Slavko Vincic mengejutkan dunia bola sepak apabila mengumumkan persaraan hanya seminggu selepas kejohanan berprestij itu melabuhkan tirai.
Pengadil Slovenia berusia 46 tahun itu mendapat kritikan meluas selepas dikatakan membenarkan corak permainan fizikal Argentina ketika aksi final menentang Sepanyol yang menyaksikan La Roja menang 1-0 menerusi masa tambahan.
Vincic turut melayangkan kad merah kepada pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez yang beraksi bersama Chelsea ketika masa kecederaan selepas tamat 90 minit perlawanan.
Persatuan Bolasepak Slovenia dalam satu kenyataan berkata: "Seminggu selepas final Piala Dunia di Amerika Syarikat, Slavko Vincic secara rasmi menamatkan kerjaya pengadil bersejarahnya di pentas tertinggi dunia."
Sepanjang kariernya, Vincic diiktiraf sebagai antara pengadil terbaik dunia apabila dinobatkan sebagai pengadil terbaik Piala Dunia oleh Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) serta Persatuan Pengadil Itali (AIA).
Anggota kumpulan elit pengadil Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sejak 2019 itu pernah mengendalikan saingan Euro 2020, selain menjadi pengadil separuh akhir Euro 2024 antara Sepanyol dan Itali.
Pada Piala Dunia kali ini, Vincic mengendalikan empat perlawanan termasuk aksi pembukaan Kumpulan C membabitkan Brazil menentang Maghribi serta kemenangan Mexico 2-0 ke atas Ecuador pada pusingan 16 terakhir yang menyaksikan beliau melayangkan kad merah kepada pertahanan Arsenal dan Ecuador, Piero Hincapie.
Di peringkat kelab, Vincic turut memiliki pengalaman mengendalikan final Liga Juara-Juara 2024 ketika Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund 2-0, selain menjadi pengadil final Liga Europa 2022 yang menyaksikan Rangers tewas kepada Eintracht Frankfurt.
Beliau juga pernah dipilih mengadili perlawanan Liga Super Turkiye antara Galatasaray dan Fenerbahce kendalian Jose Mourinho pada 2025, menjadi pengadil asing pertama mengendalikan pertemuan berkenaan.
























