BH Online
Ringkasan Berita

Martinez perjelas sebab pemain Argentina berpaling ketika Sepanyol angkat trofi

BUENOS AIRES: Pemain pertahanan Argentina, Lisandro Martinez menegaskan tindakan pemain skuad La Albiceleste membelakangi pentas ketika Sepanyol menjulang trofi Piala Dunia 2026 bukan tanda tidak menghormati lawan, sebaliknya sebagai penghargaan kepada penyokong sendiri.
Martinez perjelas sebab pemain Argentina berpaling ketika Sepanyol angkat trofi

Pemain Argentina didakwa enggan menghadap pentas ketika Sepanyol menjulang trofi selepas final Piala Dunia. Foto REUTERS

BUENOS AIRES: Pemain pertahanan Argentina, Lisandro Martinez menegaskan tindakan pemain skuad La Albiceleste membelakangi pentas ketika Sepanyol menjulang trofi Piala Dunia 2026 bukan tanda tidak menghormati lawan, sebaliknya sebagai penghargaan kepada penyokong sendiri.

Martinez berkata, pemain Argentina ketika itu hanya berpaling untuk meraikan sokongan peminat yang berada di belakang gol selepas kekalahan dalam aksi final yang berlangsung di New Jersey.

Kontroversi tercetus selepas beberapa insiden kurang menyenangkan mencemarkan sambutan kejayaan Sepanyol, susulan perlawanan akhir yang berlangsung dalam suasana tegang dan penuh emosi.

Pemain tengah Argentina, Leandro Paredes menjadi tumpuan selepas terbabit dalam pertelingkahan dengan pemain Sepanyol, Gavi dan Eric Garcia, termasuk insiden menolak serta menendang kedua-dua pemain lawan ketika mereka terjatuh.

Dalam insiden berasingan, jurulatih Argentina, Roberto Ayala turut dikatakan terbabit dalam pertengkaran apabila tindakannya menyentuh bahagian leher pemain Sepanyol, Dani Olmo mencetuskan kontroversi, sebelum pemain Barcelona itu memilih untuk tidak membalas provokasi.

Keadaan bertambah hangat ketika skuad Sepanyol menaiki pentas menerima trofi apabila beberapa pemain Argentina enggan menyaksikan detik bersejarah itu, sekali gus mencetuskan kritikan hebat daripada komuniti bola sepak.

Tindakan itu menyebabkan pemain Argentina dilabel sebagai "kalah tidak bermaruah" dan tidak menghormati lawan, namun Martinez tampil mempertahankan rakan sepasukannya sambil menegaskan mereka sentiasa menghormati setiap pasukan yang ditentang.

"Saya mempunyai perasaan bercampur-baur. Ia sedikit membuatkan saya marah kerana mereka tidak mempunyai asas untuk mencetuskan kebencian itu.

"Mereka mengatakan kami angkuh, tetapi mungkin ia lebih menggambarkan mereka yang berkata demikian berbanding diri kami. Kami sentiasa menghormati lawan," kata Martinez ketika menerima sambutan wira di kampung halamannya, Gualeguay.

Martinez turut menjelaskan gambar pemain Argentina membelakangi kamera ketika Sepanyol menerima trofi berlaku kerana mereka sedang menyanyikan lagu bersama penyokong sendiri, bukannya sebagai tanda biadab terhadap juara dunia itu.

"Selepas final, kami bersalaman dengan semua pemain dan kakitangan kejurulatihan Sepanyol. Gambar kami membelakangi kamera berlaku kerana kami kekal bersama penyokong Argentina.

"Ia adalah tanda penghormatan kepada peminat kami. Kami tidak boleh meninggalkan mereka," katanya.

Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan siasatan akan dijalankan terhadap tingkah laku Argentina selepas perlawanan akhir berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan