BH Online
Ringkasan Berita

Mbappe akui masih terluka selepas impian Piala Dunia musnah

PARIS: Kapten Perancis, Kylian Mbappe mengakui hatinya masih terluka selepas kempen Piala Dunia 2026 pasukan itu berakhir dengan kekecewaan, namun tetap berbangga dengan perjuangan rakan sepasukan sepanjang kejohanan.
Mbappe akui masih terluka selepas impian Piala Dunia musnah

Mbappe menjaringkan 10 gol sepanjang kempen Piala Dunia 2026. Foto REUTERS

PARIS: Kapten Perancis, Kylian Mbappe mengakui hatinya masih terluka selepas kempen Piala Dunia 2026 pasukan itu berakhir dengan kekecewaan, namun tetap berbangga dengan perjuangan rakan sepasukan sepanjang kejohanan.

Mbappe menerusi kenyataan panjang di media sosial berkata penyokong Perancis mungkin berhak mendapat pengakhiran lebih baik selepas Les Bleus tewas 0-2 kepada Sepanyol pada separuh akhir sebelum tunduk 4-6 kepada England dalam penentuan tempat ketiga.

Penyerang berusia 27 tahun itu bagaimanapun mencipta sejarah peribadi apabila muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol, sekali gus menjadikannya pemain paling prolifik dalam sejarah Piala Dunia dengan keseluruhan 22 jaringan.

Bintang Real Madrid itu mengetuai Perancis dalam kejohanan terakhir kendalian Didier Deschamps yang melepaskan jawatan selepas 14 tahun membimbing skuad kebangsaan itu.

Mbappe yang kini sedang bercuti akan kembali menyertai Real Madrid bersama pengendali baharu, Jose Mourinho, bagi menghadapi cabaran memburu semula kejuaraan La Liga yang kali terakhir dimenangi kelab itu pada 2024.

Dalam kenyataan sepanjang 520 patah perkataan itu, Mbappe menegaskan rasa bangga dan penghargaan menjadi emosi utama selepas mengharungi sebulan penuh cabaran bersama skuad Perancis.

"Kami tidak membawa pulang trofi bersama. Ia menyakitkan dan akan terus menyakitkan buat sementara waktu. Saya tidak akan berpura-pura sebaliknya.

"Saya bangga memenangi Kasut Emas, tetapi ia pasti lebih bermakna jika hadir bersama trofi Piala Dunia. Mungkin kami berhutang kepada anda pengakhiran yang lebih baik, tetapi kami tidak selalu boleh memilih bagaimana cerita itu berakhir," katanya.

Mbappe turut menegaskan kejayaan memenangi anugerah individu itu bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya sumbangan seluruh pasukan yang membantunya meledak 10 gol sepanjang kejohanan.

"Tanpa kerja keras rakan sepasukan, larian, hantaran dan semangat yang membawa kami dari perlawanan pertama hingga terakhir, saya tidak mungkin menjaringkan begitu banyak gol. Anugerah ini milik pasukan sama seperti milik saya," katanya.

Dia turut menghargai sokongan jutaan penyokong Perancis yang terus memberikan kepercayaan walaupun pasukan berdepan detik sukar, selain mengucapkan terima kasih kepada Deschamps, barisan kejurulatihan, pegawai perubatan dan semua kakitangan yang bekerja di belakang tabir.

Mbappe berkata bola sepak kekal sebagai permainan yang menyatukan manusia walaupun dipenuhi tekanan dan cabaran, sambil menegaskan perjalanan Perancis masih belum berakhir selepas Piala Dunia melabuhkan tirainya.

"Piala Dunia ini sudah berakhir, tetapi cerita ini masih diteruskan. Akan ada perlawanan lain dan malam-malam lagi apabila kita kembali berkongsi permainan yang sama dengan semangat yang tidak pernah pudar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan