KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya akan meneruskan pemburuan tiga mata di Piala ASEAN 2026 berdepan Laos pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe akan menentang Laos yang boleh dianggap sebagai satu lagi aksi 'pemanas badan' selepas bergelut untuk menewaskan Myanmar pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Sabtu lalu.
Di atas kertas, skuad negara sepatutnya tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga lagi mata terutamanya selepas mengambil kira Malaysia pada kedudukan ke-136 dunia jauh meninggalkan Laos yang menghuni tangga ke-185.
Apa sahaja 'alasan' sekalipun meskipun mengharungi persiapan singkat tanpa barisan pemain terbaik yang boleh dipanggil, barisan kumpulan pemain kali ini seharusnya mengelak daripada mencipta rekod yang tidak diingini.
Berdasarkan rekod pertemuan, Malaysia lebih unggul dengan 15 kemenangan, hanya dua kali mereka mencicirkan mata menentang Laos di mana satu-satunya kekalahan yang dilakar adalah pada 1997 dan seri pula pada 2002.
Selepas itu, skuad negara melakar sembilan kemenangan berturut-turut, jadi mereka perlu memastikan rekod tanpa kalah selama 29 tahun itu terus dipanjangkan - jangan menyusahkan diri sendiri dan menguji jantung penyokong.
Dalam situasi sebegini, kemenangan adalah paling utama yang perlu disasarkan berbanding jumlah jaringan kerana kemenangan akan menjadi motivasi terbesar menjelang 'ujian sebenar' berdepan Thailand di Bangkok, 1 Ogos ini.
Sahkan kemenangan dahulu dan baru 'berpesta gol' - kemenangan rutin dijangkakan daripada skuad negara dan perkembangan daripada dua aksi ini sudah pasti akan membantu mereka untuk berdepan Thailand.
Penyusunan jadual jelas berpihak kepada Malaysia kerana dua aksi pertama ini amat bagus untuk Malaysia membentuk skuad yang lebih baik dan belajar daripada kesilapan yang mungkin hadir dalam dua pertembungan terbabit.
Kemenangan ke atas Laos selepas mereka menumbangkan Myanmar bakal meningkatkan keyakinan pemain dan keyakinan akan memainkan peranan penting untuk mereka turun menentang Thailand nanti.
Ranking FIFA
Malaysia: 136
Laos: 185
Rekod pertemuan
Malaysia menang: 15
Seri: 1
Kalah: 1
Rekod 10 Pertembungan Terakhir
14 Okt 2025: Malaysia 5-1 Laos (Kelayakan Piala Asia)
9 Okt 2025: Laos 0-3 Malaysia (Kelayakan Piala Asia)
14 Nov 2024: Malaysia 3-1 Laos (Persahabatan)
24 Dis 2022: Malaysia 5-0 Laos (Piala ASEAN)
9 Dis 2021: Malaysia 4-0 Laos (Piala ASEAN)
12 Nov 2018: Malaysia 3-1 Laos (Piala ASEAN)
28 Nov 2012: Laos 1-4 Malaysia (Piala ASEAN)
7 Dis 2010: Malaysia 5-1 Laos (Piala ASEAN)
6 Dis 2008: Malaysia 3-0 Laos (Piala ASEAN)
22 Dis 2002: Laos 1-1 Malaysia (Piala ASEAN)























