BH Online
Ringkasan Berita

Pirlo kecewa terlepas peluang bimbing Itali

ROME: Bekas pemain tengah Itali, Andrea Pirlo meluahkan rasa kecewa selepas tidak lagi dipertimbangkan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan susulan perdebatan yang tercetus mengenai pencalonannya.
Pirlo kecewa terlepas peluang bimbing  Itali

Pirlo tidak lagi dipertimbangkan sebagai calon jurulatih Itali. Foto REUTERS

ROME: Bekas pemain tengah Itali, Andrea Pirlo meluahkan rasa kecewa selepas tidak lagi dipertimbangkan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan susulan perdebatan yang tercetus mengenai pencalonannya.

Pirlo, 47, sebelum ini secara mengejut muncul sebagai calon pilihan ramai penyokong Itali untuk mengembalikan maruah pasukan kebangsaan selepas mereka gagal layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Peluang Pirlo mengisi jawatan itu semakin cerah selepas jurulatih Sepanyol, Pep Guardiola menolak tawaran untuk membimbing Azzurri.

Bagaimanapun, walaupun memiliki rekod gemilang sebagai pemain termasuk membantu Itali menjuarai Piala Dunia 2006, pengalaman Pirlo sebagai jurulatih masih dianggap belum cukup kukuh dengan kejayaan yang terhad sejak menceburi bidang kejurulatihan pada 2020.

Kerjaya kejurulatihan Pirlo turut menjadi perhatian selepas dia gagal membawa kejayaan ketika mengendalikan Juventus, Sampdoria dan kelab Turkiye, Karagumruk, selain kini membimbing Dubai United di Emiriah Arab Bersatu.

"Semalam saya mengetahui bahawa saya tidak lagi menjadi calon untuk jawatan jurulatih pasukan kebangsaan. Saya merasakan perlu menjelaskan beberapa perkara," kata Pirlo menerusi hantaran di Instagram.

Menurut laporan media Itali, Pirlo sebelum ini dijangka diumumkan sebagai jurulatih baharu minggu ini, walaupun satu-satunya trofi yang dimenanginya sebagai jurulatih hanyalah Piala Itali bersama Juventus.

Pirlo berkata, dia mengikuti perkembangan perdebatan mengenai pencalonannya dengan penuh rasa kecewa, sambil mengucapkan terima kasih kepada pengarah teknikal Itali, Paolo Maldini dan penasihatnya, Leonardo atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan.

"Saya kesal kerana keputusan berdasarkan kriteria sukan berubah menjadi kontroversi awam, dengan niat dan pandangan yang tidak menggambarkan keperibadian saya dikaitkan kepada saya," katanya.

Menurut laporan media tempatan, Maldini dan Leonardo lebih menyokong Pirlo berbanding Antonio Conte, namun ketua baharu Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Giovanni Malago dilaporkan tidak bersetuju dengan pelantikan itu sejak awal.

Conte yang pernah memenangi gelaran Serie A bersama tiga kelab berbeza serta Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea kini kembali menjadi calon utama untuk membimbing juara Euro 2020 itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan