BH Online
Ringkasan Berita

Infantino bidas pengkritik Piala Dunia, dakwa sebar naratif palsu

PARIS: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino membidas pengkritik Piala Dunia 2026 yang didakwa menyebarkan “kebencian dan naratif palsu”, sambil menegaskan kejohanan berkenaan hanya membawa kegembiraan dan kemeriahan kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.
Infantino bidas pengkritik Piala Dunia, dakwa sebar naratif palsu

Infantino dan Trump pada majlis penyampaian hadiah selepas tamat final Piala Dunia pada 20 Julai lalu. Foto AFP

PARIS: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino membidas pengkritik Piala Dunia 2026 yang didakwa menyebarkan "kebencian dan naratif palsu", sambil menegaskan kejohanan berkenaan hanya membawa kegembiraan dan kemeriahan kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.

Dalam surat terbuka panjang yang diterbitkan hari ini, Infantino meminta pihak yang mengkritik kejohanan berkenaan supaya mengambil masa untuk "berfikir, bermeditasi dan berdoa" susulan pelbagai kontroversi membabitkan isu harga tiket, masalah visa serta kemasukan ke negara tuan rumah.

"Maaf kerana kamu terlalu dipenuhi kebencian dan kritikan sehingga terlepas melihat segala yang berlaku," kata Infantino menerusi hantaran di Instagram serta saluran rasmi FIFA.

Beliau turut menyelar pihak yang dianggapnya menyebarkan persepsi negatif terhadap kejohanan itu, dengan berkata FIFA berada di barisan hadapan dalam memastikan penganjuran Piala Dunia berjalan lancar.

"Kepada mereka yang menulis di sebalik kertas dan pen, menyebarkan kebencian serta naratif palsu, saya ingin katakan bahawa ketika kamu hanya duduk di belakang, kami di FIFA bekerja keras, berada di barisan hadapan dan memberikan pertunjukan terbaik di dunia.

"Kami tidak berdepan keganasan, tiada insiden, keselamatan terjamin 100 peratus, hanya kegembiraan dan kemeriahan," katanya.

Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico sebelum ini dihimpit pelbagai kebimbangan termasuk kos tiket yang tinggi, ketegangan geopolitik, konflik antarabangsa serta cuaca panas melampau di tiga negara tuan rumah.

Penyertaan Iran dalam kejohanan itu ketika hubungan tegang susulan konflik dengan AS turut mencetuskan perhatian, selain isu krisis domestik Haiti dan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo yang menimbulkan persoalan mengenai sekatan visa serta perjalanan.

Infantino bagaimanapun mempertahankan tindakan FIFA dengan menegaskan bola sepak menjadi medium penyatuan dan tidak seharusnya dicampuradukkan dengan politik.

"Ketika kamu menyebarkan kebencian, kami bekerja tanpa henti untuk menyatukan dua negara yang sedang berkonflik. Iran memasuki AS tanpa sebarang insiden atau konflik kerana bola sepak adalah mengenai keamanan, bukan politik," katanya.

Kenyataan Infantino itu berbeza dengan pandangan jurulatih Iran, Amir Ghalenoei yang menyifatkan pasukannya sebagai "paling ditindas" pada Piala Dunia, manakala penyerang utama Mehdi Taremi menganggap layanan terhadap skuad itu sebagai satu "bencana".

Selain isu visa dan politik, Infantino turut mempertahankan keputusan pengadilan selepas timbul kritikan berhubung penggantungan penyerang AS, Folarin Balogun yang dikatakan mendapat campur tangan Presiden Donald Trump untuk membolehkan pemain itu beraksi menentang Belgium pada pusingan 16.

Beliau berkata keputusan kontroversi berkaitan pengadil atau disiplin pemain bukan perkara baharu dalam bola sepak, malah perkara sama turut berlaku dalam liga utama dunia yang sering dikendalikan oleh badan bola sepak terkemuka.

Video Terkini

Berita Berkaitan