BH Online
Ringkasan Berita

Kelab Ronaldo tanggung hutang RM870 juta

RIYADH: Kelab gergasi Arab Saudi, Al Nassr dilaporkan berdepan krisis kewangan apabila menanggung hutang melebihi AS$213.4 juta (RM870 juta) sehingga memaksa Dana Pelaburan Awam (PIF) mengenakan larangan perpindahan pemain serta mengetatkan kawalan terhadap pengurusan kelab.
Kelab Ronaldo tanggung hutang RM870 juta

Al Nassr kelab yang diwakili Ronaldo kini menanggung hutang RM870 juta.

RIYADH: Kelab gergasi Arab Saudi, Al Nassr dilaporkan berdepan krisis kewangan apabila menanggung hutang melebihi AS$213.4 juta (RM870 juta) sehingga memaksa Dana Pelaburan Awam (PIF) mengenakan larangan perpindahan pemain serta mengetatkan kawalan terhadap pengurusan kelab.

Menurut laporan Al-Riyadiah, hutang besar itu berpunca daripada beberapa keputusan kewangan yang kurang berkesan sepanjang musim lalu.

Krisis berkenaan menyebabkan Al Nassr kini berada di bawah pemantauan ketat Liga Pro Saudi. Bagi mengelakkan hutang terus meningkat, PIF melaksanakan langkah kecemasan dengan mengehadkan kuasa membuat keputusan lembaga pengurusan.

Susulan itu, Al Nassr tidak dibenarkan menandatangani pemain baharu buat masa ini. Larangan itu hanya akan ditarik balik apabila kelab dapat membuktikan mereka mempunyai dana mencukupi menerusi penajaan atau sumber pendapatan lain.

Sumber memaklumkan matlamat langkah itu adalah bagi memelihara nilai kewangan, penyokong dan pemasaran kelab, mengelakkan hutang berganda serta memperkukuhkan pematuhan terhadap peraturan tadbir urus yang berkuat kuasa."

Peraturan berkenaan bukan sahaja terpakai di peringkat domestik, malah turut dipantau secara ketat oleh FIFA dan badan bola sepak antarabangsa lain terhadap semua kelab milik PIF.

Bagi memastikan layanan adil kepada semua kelab di bawah pemilik yang sama, PIF perlu mengagihkan sokongan kewangan secara saksama dan tidak boleh campur tangan secara langsung dalam keputusan profesional sesebuah pasukan.

Krisis kewangan itu turut menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan Cristiano Ronaldo bersama Al Nassr.

Sejak menyertai kelab itu pada penghujung 2022, Ronaldo memainkan peranan besar meningkatkan imej global Liga Pro Saudi dan nilai komersial Al Nassr.

Namun, gaji serta pelbagai manfaat yang diterimanya menjadikan projek membawanya ke Arab Saudi sebagai pelaburan paling mahal dalam sejarah kelab.

Pada 2025, Ronaldo dilaporkan menandatangani lanjutan kontrak bernilai AS$676 juta (RM2.76 bilion) untuk tempoh dua tahun, tidak termasuk pelbagai manfaat lain.

Dengan beban hutang yang tinggi dan larangan mendapatkan pemain baharu, pengurusan Al Nassr kini perlu membuat keputusan sama ada terus membiayai kontrak Ronaldo atau menyalurkan sumber kewangan itu bagi membina semula skuad dan memperbaiki kedudukan kewangan kelab.

Diasaskan pada 1955 dan berpangkalan di Riyadh, Al Nassr adalah antara kelab paling berjaya dalam Liga Pro Saudi serta salah satu daripada hanya tiga pasukan yang tidak pernah tersingkir sejak liga itu diperkenalkan.

Mereka sudah memenangi 11 kejuaraan liga, dengan gelaran terbaru diraih musim lalu. Kehadiran Ronaldo turut mencetuskan gelombang perpindahan ramai bintang Eropah ke Liga Pro Saudi. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan