KUALA LUMPUR: Di sebalik kempen boikot Ultras Malaya, Mohd Ridzuan Ahmad tampil menyeru penyokong bola sepak tanah air agar mengetepikan segala perbezaan dan hadir memenuhi Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.
Menerusi hantaran di media sosial menjelang aksi kedua Kumpulan B Piala ASEAN 2026 menentang Laos malam esok, bekas Capo Ultras Malaya itu yang lebih dikenali sebagai Lekir menegaskan pemain kebangsaan tidak seharusnya dibiarkan berjuang bersendirian ketika membawa nama negara.
"Apa saja permasalahan, jangan biar Harimau Malaya berjuang sendiri... Ayuh," katanya sambil memuat naik poster yang mengajak penyokong hadir ke stadium dengan slogan "Keluar Sekejap Dari Persaraan" dan "Jangan Biar Pemain Sendirian".
Seruan itu hadir ketika Ultras Malaya mengesahkan akan meneruskan kempen boikot sehingga 31 Ogos ini, sekali gus mereka tidak akan hadir pada dua aksi Harimau Malaya di laman sendiri menentang Laos dan Filipina 8 Ogos nanti.
Pendirian berkenaan diumumkan menerusi platform Facebook rasmi Ultras Malaya, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan kumpulan penyokong itu kembali memenuhi stadium untuk memberikan sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Bagaimanapun, Lekir berharap penyokong yang tidak menyertai kempen boikot itu dapat memeriahkan suasana di Cheras demi membakar semangat pemain.
























