BH Online
Ringkasan Berita

King Kazu jaring gol pertama selepas empat tahun

TOKYO: Bekas penyerang Jepun berusia 59 tahun, Kazuyoshi Miura menjaringkan gol kompetitif pertamanya dalam tempoh hampir empat tahun ketika Fukushima United membelasah Iwaki Furukawa FC 7-0 pada aksi kelayakan Piala Maharaja, hujung minggu lalu.
King Kazu jaring gol pertama selepas empat tahun

Kazuyoshi Miura (kanan) ketika beraksi bersama Yokohama FC menentang Kawasaki Frontale bagi aksi Liga-J pada September 2020. – Foto fail AFP

TOKYO: Bekas penyerang Jepun berusia 59 tahun, Kazuyoshi Miura menjaringkan gol kompetitif pertamanya dalam tempoh hampir empat tahun ketika Fukushima United membelasah Iwaki Furukawa FC 7-0 pada aksi kelayakan Piala Maharaja, hujung minggu lalu.

Memasuki musim ke-41 sebagai pemain profesional, legenda yang dikenali dengan gelaran "King Kazu" itu meledak gol kelima Fukushima, pasukan divisyen tiga Jepun, sekali gus menamatkan kemarau jaringan sejak November 2022.

Miura menyempurnakan hantaran lintang Takatora Einaga pada minit ke-52 selepas berjaya melepasi kawalan dua pertahanan lawan untuk menolak masuk bola ke gawang.

"Ia sedikit kelam-kabut, tetapi apa yang penting kami berada di posisi yang betul, jadi saya fikir kami meletakkan diri di tempat yang tepat.

"Saya mahu membalas kepercayaan setiap pihak termasuk jurulatih yang memberi peluang kepada saya untuk terus berada di tengah padang sehingga saat itu.

"Paling menggembirakan, walaupun kami sudah selesa mendahului, pemain, barisan kejurulatihan dan penyokong sama-sama meraikan jaringan itu dengan penuh kegembiraan," kata Miura.

Miura memulakan karier profesional bersama kelab Brazil, Santos pada 1986 dan turut beraksi bersama kelab di Itali, Croatia, Australia serta Portugal.

Dia antara pemain yang membantu melonjakkan populariti bola sepak Jepun apabila Liga J diperkenalkan pada 1993.

Miura membuat penampilan sulung bersama Jepun pada 1990, namun tidak disenaraikan dalam skuad yang beraksi pada Piala Dunia 1998, meskipun menjaringkan 55 gol dalam 89 penampilan bersama pasukan kebangsaan.

Miura menyertai Fukushima United secara pinjaman pada Januari lalu dan berazam membalas kepercayaan kelab baharunya dengan jaringan serta bantuan gol.

Musim lalu, dia beraksi bersama Atletico Suzuka dalam divisyen empat Jepun dengan membuat lapan penampilan tanpa sebarang jaringan sebelum kelab itu tersingkir ke liga wilayah. – AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan