LONDON: Arsenal perlu memecahkan rekod kontrak kelab jika mahu mendapatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior dengan menawarkan gaji tertinggi dalam sejarah kelab itu.
The Gunners dilaporkan melancarkan usaha berani mendapatkan Vinicius, 26, ketika mereka berhasrat mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan melangkah lebih jauh dengan memburu gelaran Liga Juara-Juara kali pertama.
Kelab London utara itu kini mengalihkan perhatian kepada penyerang Brazil berkenaan yang kontraknya bersama Real akan berakhir pada 2027 dan masih belum bersetuju menandatangani kontrak baharu bernilai £400,000 (RM2.18 juta) seminggu.
Bagaimanapun, Arsenal perlu berbelanja besar untuk membawa pemain itu keluar dari Real kerana pengurus baharu, Jose Mourinho tidak bersedia melepaskan tonggak utama pasukannya.
Juara EPL itu juga perlu sekurang-kurangnya menyamai gaji yang diterima Vinicius di Madrid jika mahu melengkapkan perpindahan berprofil tinggi itu.
Ini bermakna pengurus Arsenal, Mikel Arteta perlu kembali menawarkan kontrak lumayan kepada pemainnya.
Pendekatan itu sebenarnya dihentikan Arteta sebaik mengambil alih pasukan pada 2019 apabila beliau segera menyingkirkan pemain seperti Mesut Ozil dan Pierre-Emerick Aubameyang yang masing-masing menerima lebih £350,000 (RM1.91 juta) seminggu.
Namun Bukayo Saka baru-baru ini menandatangani kontrak baharu yang menyaksikannya menerima kira-kira £365,000 (RM1.99 juta) seminggu.
Jumlah itu mungkin menjadi kebiasaan apabila pengendali dari Sepanyol itu mahu mengekalkan pemain utama yang membantu Arsenal menjulang kejuaraan pertama EPL dalam tempoh 22 tahun musim lalu.
Arteta juga mahu memperkukuhkan jentera serangan susulan Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli dikaitkan dengan perpindahan keluar selepas Leandro Trossard meninggalkan kelab yang kemudian membawa masuk Christos Tzolis.
Sebab itu Arsenal turut dikaitkan dengan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola yang dianggarkan bernilai sekitar £140 juta (RM763 juta).
Barcola, 23, turut menjadi sasaran Liverpool, namun kedua-dua kelab gergasi EPL itu masih belum mengemukakan tawaran rasmi.
Perkembangan itu hadir selepas Arsenal enggan memenuhi harga diminta Aston Villa sebanyak £117 juta (RM637.65 juta) bagi Morgan Rogers yang akhirnya menyertai kelab pencabar, Chelsea menerusi rekod perpindahan tertinggi membabitkan kelab Britain. – AGENSI
























