ISTANBUL: Bekas bintang Liverpool, Mohamed Salah dilaporkan semakin hampir menyertai kelab Turkiye, Besiktas selepas kelab itu meningkatkan usaha mendapatkan khidmat penyerang Mesir berkenaan.
Kelab yang berpangkalan di Istanbul itu dikatakan sudah mencapai perkembangan positif dalam rundingan bagi membawa salah seorang penyerang paling prolifik dunia itu ke pentas Liga Super Turkiye.
Menurut laporan FotoMac, Besiktas bersedia menawarkan kontrak bernilai 12.5 juta euro (RM58 juta) setahun sebagai gaji untuk mendapatkan tandatangan Salah.
Rundingan antara Besiktas dan wakil Salah, Rammy Abbas, mencapai perkembangan penting selepas kedua-dua pihak mengadakan pertemuan peringkat tinggi baru-baru ini bagi membincangkan butiran perpindahan.
Perbincangan sebelum ini dilaporkan menemui kebuntuan susulan beberapa tuntutan kewangan, namun rundingan terbaharu menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai syarat peribadi pemain berusia 34 tahun itu.
Presiden Besiktas, Serdal Adali yang mengetuai usaha mendapatkan Salah berkata kelab itu sudah mengemukakan tawaran rasmi terakhir dan kini menunggu keputusan daripada pemain berkenaan.
"Seperti yang dilaporkan media, kami sudah lama menjalankan rundingan dengan Salah dan wakilnya berkaitan butiran perjanjian ini.
"Pada peringkat akhir, kami meneliti semua permintaan pemain dan wakilnya sebelum mengemukakan tawaran rasmi terakhir," katanya.
Salah satu halangan utama sebelum ini membabitkan tuntutan komisen tinggi daripada ejen pemain itu, namun laporan terkini mendakwa terdapat perkembangan positif selepas permintaan berkenaan dikurangkan.
Selain aspek kewangan, kedua-dua pihak turut membincangkan perancangan keseluruhan projek Besiktas termasuk struktur taktikal pasukan serta peluang komersial yang mampu hadir menerusi kehadiran bekas bintang Liverpool itu.
Besiktas kini berusaha melengkapkan proses dokumentasi bagi merealisasikan antara perpindahan terbesar dalam sejarah Liga Super Turkiye selepas Salah menamatkan era gemilangnya bersama Liverpool.
Penyerang Mesir itu kini sedang bercuti selepas membantu negaranya mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026.
























