LISBON: Cristiano Ronaldo perlu bersedia menerima peranan lebih terhad bersama skuad kebangsaan Portugal jika mahu meneruskan karier antarabangsanya, menurut bekas Presiden Benfica, Luis Filipe Vieira.
Pandangan itu hadir selepas pelantikan Jorge Jesus sebagai ketua jurulatih baharu Portugal, dengan Vieira menjangkakan penyerang legenda berusia 41 tahun itu tidak lagi menjadi pilihan automatik dalam kesebelasan utama.
Pelantikan Jesus membawa perubahan besar buat Portugal selepas kempen Piala Dunia 2026 yang mengecewakan, dengan jurulatih berusia 72 tahun itu diberi tanggungjawab membimbing pasukan berkenaan ke era baharu.
Vieira yang pernah bekerjasama rapat dengan Jesus ketika di Benfica percaya bekas pengendali Al Hilal itu adalah individu tepat untuk memimpin Portugal.
"Saya mengenalinya dengan sangat baik. Dia seorang yang sangat profesional. Saya percaya pelantikan ini adalah pilihan tepat dan penting untuk Portugal kembali mempunyai jurulatih tempatan," katanya kepada Antena 1.
Bagaimanapun, cabaran terbesar Jesus adalah mengurus fasa akhir karier Ronaldo yang semakin mendapat perhatian susulan persoalan mengenai tempatnya dalam kesebelasan utama.
Vieira berkata Ronaldo yang sudah mengumpul 233 penampilan antarabangsa perlu memahami bahawa dia tidak akan beraksi dalam setiap perlawanan dan mungkin perlu menerima keputusan untuk direhatkan pada sesetengah aksi.
"Dia (Jesus) mempunyai hubungan baik dengan Ronaldo dan tahu cara mengurus situasi itu. Ronaldo juga sedar penghujung kariernya semakin hampir. Ada masa dia akan bermain, ada masa dia tidak akan bermain," katanya.
Walaupun peranan Ronaldo mungkin dikurangkan, impaknya bersama Portugal kekal luar biasa apabila memegang pelbagai rekod jaringan dan penampilan yang sukar dicapai pemain Eropah lain.
Sementara itu, Jesus menegaskan dia tidak akan melakukan rombakan besar-besaran dalam skuad Portugal, sebaliknya mengekalkan kesinambungan sambil memberi tumpuan kepada pendekatan memenangi perlawanan satu demi satu.
























