KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) menjangkakan kepulangan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menerima sambutan luar biasa daripada peminat sukan permotoran di Malaysia dan rantau Asia.
Presidennya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, pengumuman menjadikan SIC sebagai tuan rumah perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain 2026 adalah sesuatu yang tidak dijangka, namun diyakini mampu mengembalikan kemeriahan perlumbaan berprestij itu selepas kali terakhir berlangsung di Sepang pada 2017.
"Saya tidak sangka Formula Satu boleh kembali ke Litar Antarabangsa Sepang, namun saya yakin perlumbaan ini akan disambut begitu meriah oleh peminat sukan permotoran di Malaysia dan seluruh rantau Asia.
"Ia juga memberi peluang kepada generasi baharu peminat Formula Satu, khususnya mereka yang mula mengenali sukan ini menerusi siri dokumentari Netflix Drive to Survive, untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlumbaan secara langsung di Sepang dan bukan sekadar di kaca televisyen atau komputer.
"Kita perlu bersiap sedia bagi memastikan kepulangan Formula Satu disambut dengan penuh meriah. Pada masa sama, kita mahu membuktikan Malaysia masih mempunyai kelompok penyokong Formula Satu yang besar.
"Insya-Allah, jika diberi peluang lagi pada masa depan, saya berharap Malaysia dapat terus menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang," katanya dalam hantaran video kepada media, hari ini.
Terdahulu, F1 mengesahkan SIC akan menjadi tuan rumah bagi GP Bahrain yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini, selepas pusingan Bahrain yang sepatutnya diadakan pada April dibatalkan susulan situasi keselamatan di Asia Barat.
Perlumbaan itu menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017, sekali gus mengembalikan salah satu acara sukan permotoran paling berprestij dunia ke negara ini.
























