BH Online
Ringkasan Berita

De la Fuente santuni mangsa kebakaran Madrid

MADRID: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente tampil memberi sokongan kepada mangsa kebakaran hutan yang melanda wilayah Madrid sejak beberapa hari lalu dengan mengunjungi pusat pemindahan di Las Rozas, barat ibu negara Sepanyol, hari ini.
De la Fuente santuni mangsa kebakaran Madrid

Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente. Foto REUTERS

MADRID: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente tampil memberi sokongan kepada mangsa kebakaran hutan yang melanda wilayah Madrid sejak beberapa hari lalu dengan mengunjungi pusat pemindahan di Las Rozas, barat ibu negara Sepanyol, hari ini.

Jurulatih yang membimbing Sepanyol menjuarai Piala Dunia itu berkata kunjungannya bertujuan menaikkan semangat hampir 300 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, selain bertemu sukarelawan serta petugas kecemasan.

"Menjadi tanggungjawab semua untuk membantu dan menaikkan semangat mereka dalam detik sukar seperti ini.

"Saya bangga dapat berada bersama mereka ketika saat seperti ini kerana ia menjadikan kita lebih memahami nilai kemanusiaan," katanya kepada penyiar Sepanyol, TVE ketika berada di kompleks sukan Marazuela.

De la Fuente berkata mangsa yang dipindahkan serta penduduk yang masih terkurung di rumah mendapat sokongan seluruh rakyat Sepanyol, sama seperti sokongan yang diterima pasukan kebangsaan ketika beraksi di pentas bola sepak.

Sebahagian keluarga yang terjejas turut ditempatkan di pusat latihan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol di Las Rozas.

Kebakaran hutan yang melanda kawasan luar Madrid, wilayah berhampiran serta Valencia menyebabkan kira-kira 75,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

De la Fuente hadir selepas mencipta sejarah membawa Sepanyol meraih kejuaraan Piala Dunia kedua pada musim panas ini apabila La Roja menewaskan Argentina 1-0 dalam aksi final pada 20 Julai lalu di New Jersey.

Video Terkini

Berita Berkaitan