LONDON: Pengurus baharu Liverpool, Andoni Iraola menyifatkan kecederaan Joe Gomez sebagai berita paling buruk ketika memulakan era kepimpinannya di Anfield.
Iraola mengendalikan aksi pertamanya selepas dilantik menggantikan Arne Slot yang dipecat pada musim panas, menyaksikan Liverpool menewaskan Sunderland 4-2 dalam aksi persahabatan pembukaan jelajah Amerika Syarikat di Nashville.
Kemenangan itu hadir menerusi jaringan Kieran Morrison, Dominik Szoboszlai, Federico Chiesa dan Lewis Koumas, namun dicemari kecederaan Gomez yang terpaksa dikeluarkan seawal minit kelapan.
Gomez yang beraksi di posisi pertahanan tengah dan diberi tanggungjawab mengetuai pasukan Liverpool dalam aksi berkenaan, mengalami masalah kecederaan yang menambah kebimbangan Iraola terhadap barisan pertahanannya.
Pertahanan baharu Jeremy Jacquet masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik selepas mengalami masalah kecederaan bahu, manakala Giovanni Leoni pula sedang menjalani proses pemulihan selepas berehat panjang.
Iraola sebelum ini mengakui pilihan pemainnya di bahagian pertahanan agak terhad dan kehilangan Gomez menjadi tamparan awal buat persiapan Liverpool menghadapi musim baharu.
"Berita paling buruk adalah kecederaan Joe. Kami gembira kerana berjaya melalui semua sesi latihan tanpa kehilangan pemain, tetapi malangnya kami kehilangan Joe sebaik sahaja perlawanan bermula," katanya.
Bagaimanapun, Iraola berkata kemenangan ke atas Sunderland memberi permulaan positif untuk pasukan itu melakukan penambahbaikan menjelang pertemuan menentang Wrexham di New York dan Leeds di Chicago.
"Banyak perkara perlu diperbaiki kerana ini hari pertama. Pemain masih merasai beban latihan dan kami kurang dari segi kesegaran, tetapi keputusan ini memberi permulaan yang baik untuk kami memperbaiki kelemahan," katanya.
Sementara itu, Virgil van Dijk diberikan tempoh rehat tambahan selepas beraksi bersama Belanda pada Piala Dunia, manakala Alexander Isak, Florian Wirtz dan Ryan Gravenberch sudah berada di Chicago selepas tamat cuti pasca kejohanan dan dijangka kembali menyertai latihan tidak lama lagi.
























