MADRID: Bintang Brazil, Vinicius Junior dilaporkan mahu menyelesaikan isu kontraknya bersama Real Madrid dan tidak berminat untuk mempertimbangkan tawaran daripada Arsenal buat masa ini.
Laporan The Athletic, semalam mendakwa Arsenal sedang meneroka kemungkinan mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu, dengan usaha berkenaan mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurus kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Kontrak semasa Vinicius bersama Real hanya berbaki 12 bulan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya di Santiago Bernabeu ketika Arsenal giat mencari tambahan kekuatan di bahagian serangan.
Khabar angin semakin bertiup kencang selepas Real dilaporkan mencapai persetujuan peribadi dengan bintang RB Leipzig, Yan Diomande, yang menimbulkan persoalan sama ada tempoh lapan tahun Vinicius bersama kelab gergasi Sepanyol itu bakal berakhir.
Menurut laporan AS, Vinicius berasa kurang dihargai berikutan spekulasi berterusan mengenai minat Real terhadap beberapa penyerang lain seperti Julian Alvarez, Michael Olise dan Diomande.
Bagaimanapun, pemain yang pernah muncul naib juara Ballon d'Or 2024 itu dikatakan mahu terus kekal di Real, dengan keutamaan utamanya adalah mencapai persetujuan mengenai lanjutan kontrak baharu.
Vinicius mahu proses rundingan berjalan lancar tanpa menimbulkan ketegangan seperti yang berlaku musim panas lalu apabila perbincangan kontrak terhenti selepas Piala Dunia Kelab.
Pendekatan itu turut mendapat sokongan pihak pengurusan Real yang mahu memastikan rundingan bersama kem Vinicius berjalan positif bagi menamatkan segala keraguan mengenai masa depan pemain itu.
Perbincangan kontrak dijangka disambung minggu depan selepas Vinicius kembali daripada percutian singkat di kampung halamannya, Sao Goncalo, Brazil.
Dia difahamkan mahukan jaminan mengenai peranannya dalam skuad utama kendalian Jose Mourinho serta struktur gaji yang setimpal dengan statusnya.
Vinicius dilaporkan menuntut gaji sekitar 20 juta euro (RM93 juta) bersih semusim, peningkatan 5 juta euro (RM23 juta) berbanding pendapatan selepas pembaharuan kontrak terakhirnya pada 2022.
Sejak menyertai Real daripada Flamengo pada 2017, pemain itu sudah menjaringkan 128 gol dan mencipta 100 bantuan jaringan, selain membantu kelab itu memenangi 14 trofi termasuk tiga kejuaraan La Liga dan dua Liga Juara-Juara.
























