FORBACH, Perancis: Pengadil wanita, Mathilde Demoncay mengalami gegaran otak selepas terjatuh ketika cuba meleraikan kekecohan membabitkan pemain lelaki dalam aksi persahabatan antara kelab Perancis, Metz dan Fortuna Sittard dari Belanda, semalam.
Demoncay tidak dapat meneruskan tugasnya selepas insiden yang berlaku di Stadium Schlossberg, Forbach, timur Perancis, ketika kedua-dua pasukan membuat persiapan menghadapi musim baharu.
Dalam laporan perlawanan di laman rasmi mereka, Fortuna Sittard yang tewas 1-3 menyifatkan kejadian itu sebagai "detik luar biasa", namun tidak mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan.
Metz pula tidak melaporkan kejadian itu menerusi laman rasmi kelab.
Ketegangan tercetus pada minit ke-40 selepas dua pemain bertelagah susulan insiden tarik baju sebelum beberapa pemain lain datang menyertai pertelingkahan itu.
Video yang tular di media sosial menunjukkan Demoncay cuba masuk campur untuk meredakan keadaan, namun terjatuh dengan kuat selepas terkena asakan ketika kekecohan berlaku.
Insiden itu berlaku di hadapan papan tanda besar yang tertera mesej "Hormati pengadil".
Pengadil berusia 26 tahun itu terbaring di padang selama beberapa minit sambil memegang lengannya sebelum pengadil bantuan, anggota keselamatan dan petugas perubatan memasuki padang bagi mengawal keadaan serta memeriksa tahap kecederaannya.
Demoncay kemudian kembali bertugas sebagai pengadil bantuan selepas permainan disambung, namun meninggalkan padang ketika rehat separuh masa dan tugasnya diambil alih oleh seorang lagi pengadil bantuan.
Laporan media menyebut Demoncay disahkan mengalami gegaran otak akibat insiden berkenaan.
























