BH Online
Ringkasan Berita

Vozinha sertai Colo Colo selepas aksi memukau Piala Dunia

SANTIAGO, Chile: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha kini memiliki destinasi baharu apabila sah menyertai kelab gergasi Chile, Colo Colo.
Vozinha sertai Colo Colo selepas aksi memukau Piala Dunia

Vozinha mencuri tumpuan dunia menerusi aksi cemerlang sepanjang Piala Dunia 2026. Foto AFP

SANTIAGO, Chile: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha kini memiliki destinasi baharu apabila sah menyertai kelab gergasi Chile, Colo Colo.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu mencuri tumpuan dunia menerusi aksi cemerlang sepanjang Piala Dunia 2026 apabila menghasilkan beberapa penyelamatan luar biasa ketika berdepan pasukan ternama termasuk Argentina dan juara dunia, Sepanyol.

"Selamat datang. Kami sedang menanti anda," tulis Colo Colo menerusi akaun media sosial rasmi kelab itu pada Jumaat, yang pantas mencetuskan keterujaan bukan sahaja dalam kalangan penyokong mereka, malah seluruh Chile yang gagal layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Presiden Blanco y Negro, syarikat yang menguruskan Colo Colo, Anibal Mosa sebelum itu mengesahkan Vozinha yang berstatus ejen bebas ketika beraksi di Piala Dunia akan tiba di Chile dalam masa terdekat.

"Vozinha akan menjadi pemain Colo Colo. Dalam beberapa hari lagi, dia akan datang ke Chile, menjalani pemeriksaan perubatan dan kemudian diperkenalkan secara rasmi di Estadio Monumental," katanya merujuk kepada gelanggang keramat Colo Colo di Santiago.

Media tempatan melaporkan penjaga gol kelahiran Cape Verde itu bakal menandatangani kontrak selama 18 bulan bersama kelab berkenaan.

Vozinha atau nama sebenarnya Josimar Dias, menjadi watak penting dalam perjalanan bersejarah Cape Verde di Piala Dunia apabila membantu negara kepulauan kecil di barat Afrika itu mara jauh sebelum disingkirkan Argentina diketuai Lionel Messi menerusi kekalahan 2-3 selepas masa tambahan pada pusingan 32 terbaik.

Kejayaan mencipta nama di pentas terbesar dunia turut memberi impak besar kepada populariti Vozinha apabila jumlah pengikutnya di media sosial meningkat mendadak daripada kurang 50,000 kepada hampir 29 juta.

Video Terkini

Berita Berkaitan