KUALA LUMPUR: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa supaya memberi peluang kepada 'muka baharu' untuk menerajui badan induk itu pada pemilihan akan datang bagi memastikan agenda transformasi dan pembaharuan dalam bola sepak negara dapat direalisasikan.
Pemerhati bola sepak, Datuk Pekan Ramli berkata kewujudan pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Presiden FAM perlu dilihat sebagai perkembangan positif selepas kali terakhir kerusi 'nombor satu' itu dipertandingkan adalah pada 12 tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berharap ahli gabungan tidak lagi taksub dan tertumpu kepada calon yang pernah memegang jawatan sebelum ini, sebaliknya mempertimbangkan calon baharu yang menawarkan idea serta pendekatan berbeza.
Pekan berkata, sentimen penyokong ketika ini jelas mahukan perubahan dalam kepimpinan badan induk bola sepak negara, sekali gus berharap ahli gabungan membuka ruang untuk memilih wajah baharu untuk memikul tanggungjawab berkenaan.
"Sudah ada calon baharu yang menawarkan diri dan belum pernah memegang jawatan utama itu, jadi kalau boleh kita harapkan ahli gabungan faham hasrat dan denyut nadi peminat bola sepak negara kita.
"Walaupun orang lama sudah dapat pencalonan tetapi sudah ada calon lain yang perlu diketengahkan dan dipertimbangkan bagi kongres pemilihan kali ini.
"Kita mengharapkan ada muka baharu yang boleh kita berikan kepercayaan dan menggalas tanggungjawab. Kalau kita tidak beri peluang pada muka baharu, maka kita akan nampak muka sama sahaja," katanya.
Dalam masa sama, Pekan turut mengingatkan khususnya kepada ahli gabungan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut menuntut perubahan dilakukan ke atas organisasi terbabit sebelum ini.
"Kita jangan lupa, sedangkan desakan FIFA dan AFC itu bukan sekadar untuk transformasi disebabkan imej yang tercalar tetapi mereka juga mahukan ketelusan.
"Ketelusan itu bukan sahaja daripada aspek pencalonan tetapi daripada aspek pemilihan itu nanti. Jadi, harapnya tiadalah berlakunya kempen tidak sihat berlaku atau wujudnya gang proksi tertentu tetapi fikirkanlah calon baharu yang sesuai untuk diberikan tanggungjawab," katanya.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan tiga 'orang bola' dijangka merebut kerusi panas Presiden FAM pada kongres badan induk itu yang dijadualkan berlangsung September ini.
Menurut sumber ketiga-tiga calon yang mengesahkan hasrat untuk bertanding bukanlah figura asing dalam kancah bola sepak tempatan dan sememangnya terbabit dengan bola sepak menerusi kapasiti tersendiri.
Tiga calon terbabit adalah Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan serta bekas EXCO FAM yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
























