KUALA LUMPUR: Myanmar jelas berjaya 'menyusahkan' skuad Harimau Malaya pada pertembungan pertama Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Thuwunna, semalam.
Serangan balas pantas dilancarkan tuan rumah itu beberapa kali memerangkap barisan pertahanan negara dan mereka berjaya mendapat gol pendahuluan seawal minit ke-10.
Malah, skuad bimbingan Jorn Andersen tidak bernasib baik apabila peluang mereka mendapatkan gol kedua pada minit ke-44 dinafikan palang.
Kapten skuad negara, Paulo Josue mengakui pasukan di ranking ke-158 dunia itu memberikan tentangan yang hebat apatah lagi skuad kebangsaan masih bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik.
Namun penjaring dua gol untuk membantu skuad negara meraih kemenangan 2-1 itu tetap gembira dengan komitmen yang ditunjukkan sehingga mereka dapat membuka kempen kali ini dengan nada positif.
"Saya gembira dengan rakan sepasukan kerana kita tahu tidak mudah untuk menunjukkan semua yang dimahukan oleh barisan kejurulatihan hanya dalam tempoh 10 hari.
"Kami tidak menjangkakan akan bolos tetapi kami tahu Myanmar ada transisi yang pantas dan berbahaya menerusi serangan balas pantas.
"Tetapi syukurlah kami dapat bangkit pada separuh masa kedua dan secara keseluruhan, kami menunjukkan permainan yang baik," kata pemain tengah itu.
Pada aksi terbabit, Josue mencetus kebangkitan skuad negara dengan dua gol pantas dalam tempoh lima minit bermula dengan tampanannya yang menyambut tandukan Mohamadou Sumareh pada minit ke-52.
Tonggak veteran itu kemudiannya menyempurnakan penalti pada minit ke-57 susulan kekasaran pemain tuan rumah ke atas Sumareh.
























