BH Online
Ringkasan Berita

Kemenangan belum tenangkan hati Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan hasil kemenangan 2-1 ke atas Myanmar namun tetap terbit kebimbangan dalam hati pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Kemenangan belum tenangkan hati Cheng Hoe

Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan ke atas Myanmar pada aksi pembukaan Piala ASEAN 2026 di Yangon semalam.

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan hasil kemenangan 2-1 ke atas Myanmar namun tetap terbit kebimbangan dalam hati pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe menyaksikan sendiri barisan pemainnya bergelut pada aksi pertama di Stadium Thuwunna, Yangon sehingga mereka ketinggalan seawal minit ke-10 menerusi penyudah kemas Myat Kaung Khant.

Skuad negara memperaga kebangkitan selepas rehat dengan dua gol pantas dalam tempoh lima minit oleh Paulo Josue termasuk satu menerusi sepakan penalti untuk menyelamatkan maruah negara menentang pasukan di ranking ke-158 dunia itu.

Bagi Cheng Hoe, beliau mengakui anak buahnya masih belum berada pada tahap yang terbaik untuk mengharungi pertandingan terbabit namun optimis kemenangan sulung itu memberi petanda positif kepada perkembangan pasukan.

"Kami tahu masih ada beberapa kelemahan dan dari segi karakter pasukan, kami belum cukup kuat untuk menghadapi perlawanan seperti ini. Tetapi kami sedang membinanya secara berperingkat.

"Dari sudut kecergasan, kita agak bimbang kerana kebanyakan pemain baru sahaja kembali daripada latihan pramusim dan belum benar-benar bersedia.

"Tetapi kita memberi fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan. Saya harap kita akan lebih bersedia dari segi kerja berpasukan, persefahaman dan mendapat keserasian yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya," kata Cheng Hoe.

Selepas ini, skuad kebangsaan akan beraksi buat kali pertama di laman sendiri menentang pasukan di ranking ke-185 dunia, Laos.

Kali ini, mereka tidak akan beraksi di gelanggang keramat mereka iaitu TM Stadium Nasional sebaliknya akan turun ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Mereka kemudiannya akan menentang Thailand di Bangkok pada 1 Ogos sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos.

Video Terkini

Berita Berkaitan