BH Online
Ringkasan Berita

TFC 'berkampung' di Bangkok cari keserasian

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) akan menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan pramusim di Bangkok sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super musim 2026-27.
TFC 'berkampung' di Bangkok cari keserasian

Skuad TFC akan berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan pramusim di Bangkok mulai Rabu ini. – Foto Terengganu FC

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) akan menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan pramusim di Bangkok sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super musim 2026-27.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, skuad kendaliannya akan 'berkampung' selama 10 hari di negara berkenaan bagi mengharungi empat aksi pemanas badan.

Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun itu, aksi persahabatan berkenaan penting bagi memantapkan aspek taktikal selain membentuk keserasian pasukan berikutan kehadiran beberapa pemain baharu.

"Kami akan berada di Bangkok selama 10 hari bermula 29 Julai ini untuk aksi persahabatan sebelum aksi sebenar Liga Super pada 22 Ogos depan.

"Aksi berkenaan penting buat pasukan untuk menilai sejauh mana kekuatan dan kelemahan pasukan, lagipun ramai dalam kalangan pemain baharu termasuk tonggak import.

"Insya-Allah jika semua perancangan berjalan dengan lancar, pada minggu ini semua pemain akan lengkap sepenuhnya dan dapat beraksi di Bangkok nanti," katanya.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu kembali membimbing skuad Penyu selepas meninggalkan pasukan berkenaan pada 2023.

"Aksi pertama TFC akan berdepan Hanoi FC pada 31 Julai sebelum berdepan kelab Hong Kong, Taipo FC pada 2 Ogos depan.

"Selepas itu kami akan berdepan kelab Liga Divisyen Tiga Thailand, Prime Bangkok pada 3 Ogos sebelum menutup tirai aksi pramusim di negara berkenaan menentang PT Prachuap yang bersaing dalam Liga Divisyen Satu Thailand pada 6 Ogos."

Musim lalu, skuad TFC dikendalikan Badrul Afzan Razali sebelum diambil alih Tengku Hazman Raja Hassan pada pertengahan musim dan menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima.

Video Terkini

Berita Berkaitan