NASHVILLE, Amerika Syarikat: Andoni Iraola memulakan tugasnya sebagai jurulatih Liverpool dengan kemenangan selepas pasukan baharunya menampilkan aksi mengagumkan untuk menewaskan Sunderland 4-2 pada aksi pertama jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat.
Iraola, yang menggantikan Arne Slot di Anfield pada Jun lalu, pasti berpuas hati dengan beberapa corak permainan yang dipamerkan Liverpool dalam cuaca panas Nashville, terutama gerakan pasukan yang menarik sehingga menghasilkan gol pembukaan menerusi pemain tengah muda, Kieran Morrison selepas 13 minit.
Pengendali dari Basque itu, sama seperti lawannya Regis le Bris, melakukan banyak pertukaran pemain selepas separuh masa pertama, dengan Liverpool memperbaiki prestasi selepas rehat untuk bangkit daripada ketinggalan 1-2 hasil rembatan deras Dominik Szoboszlai sebelum pemain gantian Federico Chiesa dan Lewis Koumas turut mencetak gol.
Namun, terdapat satu perkara yang mengecewakan Iraola apabila kapten sementara dan pertahanan berpengalaman Joe Gomez terpaksa dikeluarkan lebih awal susulan kecederaan yang dipercayai berkaitan masalah otot, di posisi yang sememangnya Liverpool tidak mahu kehilangan pemain menjelang musim baharu.
"Saya fikir ia adalah dua separuh masa yang berbeza. Terutama sekali, mereka jauh lebih kuat pada separuh masa pertama.

"Kami cuba mengimbangi kedua-dua pasukan dan anda boleh rasakan perbezaannya. Sudah tentu banyak perkara perlu diperbaiki kerana ini adalah hari pertama, kata Iraola.
"Anda boleh rasakan kaki pemain agak berat kerana mereka sudah menjalani latihan. Jadi, kami kekurangan sedikit kesegaran.
"Tetapi ia memberikan kami titik permulaan yang baik untuk memperbaiki perkara lain.
"Mungkin berita paling buruk adalah kecederaan Joe (Gomez) yang berlaku sejurus selepas perlawanan bermula.
"Kami gembira kerana kami berjaya mengharungi semua sesi latihan tanpa kehilangan mana-mana pemain. Malangnya buat kami, kami akan kehilangan Joe." – AGENSI
























