BH Online
Ringkasan Berita

Brown mahu Rashford kekal di Old Trafford

MANCHESTER, England: Legenda Manchester United, Wes Brown percaya Marcus Rashford akan kekal di Old Trafford dan kembali menyerlah bersama kelab itu musim ini.
Brown mahu Rashford kekal di Old Trafford

Marcus Rashford (kiri) beraksi cemerlang bersama England pada Piala Dunia 2026 sekalipun tidak mendapat banyak minit permainan. – Foto fail AFP

MANCHESTER, England: Legenda Manchester United, Wes Brown percaya Marcus Rashford akan kekal di Old Trafford dan kembali menyerlah bersama kelab itu musim ini.

Rashford, 28, hilang tempat dalam skuad United pada 2025 apabila diketepikan daripada skuad perlawanan sebelum menjalani dua tempoh pinjaman yang berjaya bersama Aston Villa dan Barcelona.

Penyerang serba boleh itu serta Barcelona mahu melengkapkan perpindahan tetap pada musim panas ini, namun juara Sepanyol itu enggan memenuhi klausa pelepasannya bernilai £40 juta (RM217 juta) sebelum menandatangani Anthony Gordon dengan nilai £70 juta (RM380 juta).

Justeru, pemain antarabangsa England itu masih berada dalam senarai pemain United, namun masa depannya terus menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, Brown, 46, percaya Rashford mampu menjadi aset penting selepas aksi cemerlangnya bersama Barcelona musim lalu serta prestasinya bersama England pada Piala Dunia musim panas ini.

Bekas pertahanan itu menjangkakan pengurus United, Michael Carrick sedia menerima kepulangan Rashford dengan tangan terbuka.

Ikon The Red Devils itu turut yakin hubungan antara kelab dan Rashford boleh dipulihkan selepas mereka dikatakan berselisih ketika era bekas pengurus, Ruben Amorim.

Brown berkata kepada SunSport bagi pihak LiveFootballTickets: "Saya pasti Michael Carrick mahu dia kembali kerana ia memberikan satu lagi pilihan kepada pasukan. Jika dia kembali musim ini, ia akan banyak membantu.

"Saya masih tidak pasti apa yang akan berlaku, tetapi jika keputusan itu hanya bergantung kepada Michael, saya yakin beliau pasti mahukan Marcus kembali. Sudah tentu Marcus juga mungkin mahu kekal di Barcelona.

"Namun mereka memilih haluan lain, jadi saya tidak pasti apakah pilihan lain yang ada. Bagi saya, semuanya bergantung kepada masa.

"Perselisihan memang berlaku dan dalam bola sepak hubungan itu sentiasa boleh dipulihkan. Begitulah lumrahnya. Saya fikir kehadirannya musim depan akan menjadi satu rangsangan buat Michael.

"Marcus menerima gaji yang tinggi, jadi saya fikir itu mungkin menjadi faktor utama yang menyukarkan perpindahan.

"Dia pemain yang hebat. Persembahannya di Piala Dunia juga membuktikannya. Semua pihak perlu membuat keputusan dalam masa terdekat." – AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan