LOS ANGELES: Lionel Messi tidak diwajibkan beraksi pada perlawanan All-Star Major League Soccer (MLS) minggu depan selepas mewakili Argentina pada final Piala Dunia baru-baru ini, kata liga bola sepak Amerika Syarikat itu.
Bintang Inter Miami itu dikenakan tindakan musim lalu kerana tidak menyertai perlawanan tahunan berkenaan yang menemukan pemain terbaik MLS dengan pilihan Liga MX dari Mexico.
Penyertaan dalam aksi itu biasanya diwajibkan, kecuali jika pemain mengalami kecederaan.
Namun tahun ini, Piala Dunia berlangsung di tengah-tengah musim MLS yang dihentikan selama tujuh minggu dan liga mengesahkan pengecualian sudah dipersetujui lebih awal bagi pemain yang mara ke peringkat akhir kejohanan itu.
"Sebelum bermulanya musim 2026, Major League Soccer dan Persatuan Pemain MLS bersetuju sebaik sahaja seseorang pemain menamatkan saingan di Piala Dunia, kelab masing-masing akan mengadakan perbincangan secara individu dengan pemain terbabit bagi menentukan tempoh rehat serta jadual kembali menjalani latihan dan pertandingan yang sesuai," menurut kenyataan itu.
"Selaras dengan persetujuan itu, Rodrigo De Paul dan Lionel Messi dikecualikan daripada menyertai perlawanan All-Star MLS 2026."
Seorang lagi pemain Argentina, De Paul turut beraksi pada final Piala Dunia di New Jersey yang menyaksikan Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol selepas masa tambahan.
Messi sebelum ini disenaraikan antara 11 pemain pertama yang dipilih ke dalam skuad MLS bagi perlawanan All-Star tahun ini yang akan berlangsung di Charlotte, Carolina Utara.
Tanpa kehadirannya, antara bintang yang akan beraksi adalah pemain Los Angeles FC, Son Heung Min, pemain Vancouver Whitecaps, Thomas Muller serta kapten Amerika Syarikat yang mewakili Charlotte, Tim Ream.
Musim lalu, Messi dan rakan sepasukannya di Inter Miami ketika itu, Jordi Alba, dikenakan penggantungan satu perlawanan selepas menarik diri daripada perlawanan All-Star pada saat akhir.
Pesuruhjaya MLS, Don Garber ketika itu menyuarakan simpati terhadap jadual padat yang dihadapi Messi dengan menyifatkan keputusan berkenaan sebagai "amat sukar" dan memaklumkan dasar lama liga mengenai perlawanan All-Star akan dikaji semula.
Bagaimanapun pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas berkata Messi "amat kecewa" dengan hukuman penggantungan itu. – AFP
























