BUENOS AIRES: Presiden Argentina, Javier Milei mendakwa kejayaan negaranya menyebabkan sesetengah pihak berasa iri hati selepas petisyen dalam talian yang mendesak Argentina dilarang menyertai Piala Dunia pada masa depan menerima lebih 23 juta tandatangan.
Kontroversi tercetus selepas Argentina menerima kecaman susulan insiden selepas wisel penamat final Piala Dunia 2026 di New Jersey yang menyaksikan mereka tewas kepada Sepanyol menerusi jaringan Ferran Torres pada masa tambahan.
Kekecohan berlaku selepas perlawanan apabila beberapa pemain Argentina didakwa terbabit dalam insiden tidak diingini, termasuk Leandro Paredes yang menolak Eric Garcia sehingga jatuh sebelum berlaku pergelutan bersama Gavi, manakala Nahuel Molina turut didakwa mencetuskan pertelingkahan selepas melakukan tumbukan ke arah Rodri.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini menyiasat insiden berkenaan yang boleh membawa kepada tindakan disiplin seperti penggantungan dan denda.
Argentina turut menerima kritikan selepas aksi final itu apabila hanya merekodkan dua percubaan ke arah gol, melakukan beberapa kekasaran serta kehilangan Enzo Fernandez yang dilayangkan kad merah.
Petisyen dalam talian yang menggesa Argentina dilarang menyertai Piala Dunia akan datang kini mengumpulkan 23,316,108 tandatangan dari kira-kira 170 negara.
Bagaimanapun, kecaman itu mencetuskan reaksi balas dalam kalangan penyokong Argentina yang mempertahankan pasukan kebangsaan mereka.
Milei kemudian memperkuatkan sentimen berkenaan menerusi beberapa hantaran di Instagram yang dilihat mempertahankan skuad La Albiceleste.
Antara mesej yang dikongsikannya berbunyi: "Adakah anda mempunyai musuh? Ini bermakna anda pernah mempertahankan sesuatu. Kami mempertahankan Argentina."
Satu lagi hantaran yang dikongsikan presiden berusia 55 tahun itu menyebut: "Masalah dengan Argentina ialah kami menonjol, kami tidak pernah dipandang sepi, orang ramai cemburu terhadap kami dan kami bagus dalam hampir semua perkara."
Milei turut memuat naik imej hasil kecerdasan buatan (AI) yang menunjukkan dirinya membuka sut untuk memperlihatkan jersi Argentina dengan kapsyen: "Hidup Argentina, ayuh!"
Kenyataan nasionalis itu hadir selepas kemenangan Argentina ke atas England pada separuh akhir yang turut mencetuskan kontroversi apabila pemain negara itu meraikan kejayaan dengan sepanduk bertulis "Las Malvinas son Argentinas" atau "Falkland milik Argentina".
Sementara itu, beberapa pemain Argentina termasuk Paredes terus mempertahankan perjuangan pasukan walaupun berdepan kritikan.
Paredes, Molina, Thiago Almada serta penolong jurulatih Roberto Ayala bagaimanapun berdepan kemungkinan tindakan disiplin FIFA, manakala Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) boleh dikenakan denda besar kerana gagal mengawal pemain dan pegawai pasukan.
























