LONDON: Arsenal mula membuat pertanyaan awal mengenai status pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior ketika juara Liga Perdana Inggeris itu giat memperkuatkan jentera serangan menjelang musim baharu.
Skuad The Gunners dilaporkan berminat mendapatkan pemain Brazil berusia 26 tahun itu selepas masa depan Vinicius bersama Real mula menjadi tanda tanya, terutama dengan kontraknya kini memasuki tahun terakhir.
Situasi itu membuka peluang buat Real mempertimbangkan penjualan pemain terbabit berbanding kehilangan Vinicius secara percuma pada musim panas tahun depan sekiranya tiada persetujuan baharu dicapai.
Vinicius mempunyai wakil sama dengan penyerang muda RB Leipzig, Yan Diomande yang turut berada dalam radar Arsenal.
Namun, Real kini dikatakan berusaha mendapatkan Diomande dengan segera.
Selain Vinicius, Arsenal turut menilai beberapa pilihan lain bagi memperkuatkan barisan serangan termasuk Julian Alvarez, Diomande dan Bradley Barcola.
Liverpool ketika ini dianggap sebagai pilihan utama untuk mendapatkan Barcola, namun situasi boleh berubah sekiranya Paris Saint-Germain gagal membawa masuk Diomande.
Sekiranya berjaya mendapatkan Vinicius, ia bakal menjadi antara perpindahan paling besar dalam sejarah Arsenal.
Bagaimanapun, rundingan rasmi antara kedua-dua kelab masih belum bermula.
Vinicius sebelum ini turut menjadi sasaran kelab Arab Saudi apabila Al Ahli dilaporkan pernah menawarkan kontrak bernilai 1 bilion euro (RM4.66 bilion) untuk tempoh lima tahun kepada pemain itu pada tahun lalu.
Liverpool juga dikaitkan dengan minat terhadap Vinicius pada awal jendela perpindahan kali ini, namun tidak lagi berada dalam persaingan, terutama dengan gaji pemain itu yang dianggarkan sekitar 520,000 pound (RM2.8 juta) seminggu.
Sejak menyertai Real Madrid, Vinicius sudah menjaringkan 128 gol dalam tempoh lapan musim selain hampir memenangi Ballon d'Or 2024 apabila muncul naib juara di belakang Rodri.
























