BH Online
Ringkasan Berita

Maeda sertai Ipswich, impian jadi kenyataan

LONDON: Penyerang Jepun, Daizen Maeda melengkapkan perpindahan ke Ipswich Town selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkan pemain berusia 28 tahun berkenaan menyertai pasukan dengan kontrak tiga tahun.
Maeda sertai Ipswich, impian jadi kenyataan

Maeda menandatangani kontrak bersama Ipswich selama tiga tahun. Foto REUTERS

LONDON: Penyerang Jepun, Daizen Maeda melengkapkan perpindahan ke Ipswich Town selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkan pemain berusia 28 tahun berkenaan menyertai pasukan dengan kontrak tiga tahun.

Maeda yang sebelum ini bersama kelab gergasi Scotland, Celtic, menjadi pemain Jepun pertama dalam sejarah Ipswich dan dilaporkan menyertai kelab itu dengan yuran perpindahan sekitar 10 juta pound (RM54 juta).

Pemain yang mewakili Jepun pada Piala Dunia di Amerika Utara itu mengakui keterujaannya selepas berjaya merealisasikan impian beraksi di pentas EPL.

"Saya sentiasa bermimpi untuk bermain dalam Liga Perdana dan saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian itu bersama kelab ini.

"Saya menyukai semua perbualan bersama pihak kelab dan mereka membuatkan saya berasa sangat dialu-alukan.

"Sasaran saya sentiasa untuk bekerja keras, menjaringkan gol serta mencipta bantuan jaringan untuk pasukan. Saya akan sentiasa berlari dan memberikan segala yang saya ada," katanya dalam kenyataan.

Maeda merekodkan lima gol dalam 30 penampilan bersama skuad kebangsaan Jepun, termasuk jaringan ketika membantu pasukannya seri 1-1 menentang Sweden pada peringkat kumpulan Piala Dunia bulan lalu.

Sepanjang empat musim bersama Celtic, Maeda meledak 79 gol dalam 212 penampilan selain membantu kelab itu menjulang lima kejuaraan liga Scotland dan lima trofi domestik.

Kehadiran Maeda menyaksikan Ipswich melengkapkan pembelian kelima mereka pada jendela perpindahan musim panas menjelang saingan Liga Perdana 2026/27 di bawah kendalian Gary O'Neil.

Ipswich akan membuka kempen liga berdepan Sunderland pada 22 Ogos depan.

Video Terkini

Berita Berkaitan