BH Online
Ringkasan Berita

Penalti bantu Harimau Malaya atasi Myanmar

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan meskipun bergelut menumbangkan Myanmar 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Thuwunna, sebentar tadi.
Penalti bantu Harimau Malaya atasi Myanmar

Malaysia bangkit menewaskan Myanmar dalam aksi pertama Kumpulan B kempen Piala ASEAN 2026. Foto Ihsan ASEAN Football News

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan meskipun bergelut menumbangkan Myanmar 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Thuwunna, sebentar tadi.

Kebangkitan pada babak kedua jelas menyelamatkan anak buah Tan Cheng Hoe selepas mereka jelas 'hilang arah' untuk menangani corak permainan Myanmar pada 45 minit pertama.

Pada aksi terbabit, Malaysia bermula garang apabila menguji gawang tuan rumah seawal minit ketiga menerusi tandukan Mohamadou Sumareh yang diselamatkan Zin Nyi Nyi Aung.

Nyi Aung sekali lagi diuji seminit berselang, kali ini menerusi rembatan Syafiq Ahmad namun penjaga gol Myanmar itu cemerlang memastikan gawangnya tidak bolos.

Bagaimanapun, Myanmar yang berada di ranking ke-158 mengejutkan Malaysia apabila mendahului pada minit ke-10 selepas serangan balas pantas disudahkan dengan penyudah kemas Myat Kaung Khant yang menewaskan penjaga gol negara, Azri Ghani.

Peluang Malaysia mengikat kedudukan hadir pada minit ke-28 namun percubaan Paulo Josue terkena palang sebelum gawang negara terselamat apabila percubaan Myanmar juga terkena palang pada minit ke-44.

Dua gol pantas dalam tempoh lima minit selepas rehat menyaksikan Malaysia kembali dalam kawalan apabila skuad negara memimpin perlawanan buat kali pertama.

Berpunca daripada sepakan sudut, tandukan Sumareh disambut tampanan jarak dekat Paulo Josue untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-52.

Terjahan pemain Myanmar ke atas Sumareh menyaksikan skuad negara diberikan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Josue pada minit ke-57.

Azri memastikan kelebihan satu gol Malaysia bertahan apabila menepis tandukan deras Than Paing pada minit ke-64 yang sempat mengenai palang sebelum menangkap percubaan susulan tuan rumah.

Myanmar terus mengasak untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya satu mata namun benteng negara mempertahankan kelebihan satu gol untuk meraih tiga mata pertama pada kempen Piala ASEAN kali ini.

Selepas ini, skuad kebangsaan akan berdepan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Selasa ini sebelum menentang Thailand di Bangkok pada 1 Ogos.Mereka akan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos.

Video Terkini

Berita Berkaitan