MADRID: Atletico Madrid mengesahkan pembelian pemain tengah Korea Selatan, Lee Kang-in daripada juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG), dengan pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak sehingga 30 Jun 2031.
Walaupun kedua-dua kelab tidak mendedahkan nilai perpindahan, sumber yang rapat dengan rundingan memaklumkan kepada AFP bahawa Atletico membayar kira-kira 40 juta euro (RM186 juta), tidak termasuk bonus.
Atletico menyifatkan Kang-in sebagai pemain berkaki kiri yang versatil, mampu beraksi di posisi tengah menyerang mahupun di kedua-dua sayap, selain memiliki visi permainan, kawalan bola berkualiti serta kebolehan mencipta peluang dan menjaringkan gol.
Kang-in meninggalkan PSG selepas tiga musim bersama kelab Perancis itu sejak berhijrah dari Valencia pada 2023.
Sepanjang bersama PSG, dia meledak 16 gol dalam 124 penampilan dan membantu kelab itu meraih 12 trofi, namun peluang beraksi secara tetap agak terhad di bawah kendalian Luis Enrique.
Pemain antarabangsa Korea Selatan itu turut berdepan kecederaan paha pada Januari lalu dan sekadar menjadi pemain simpanan tanpa diturunkan ketika PSG muncul juara Liga Juara-Juara Eropah dalam dua musim berturut-turut.
Kang-in menjadi pemain ketiga dibawa masuk Atletico pada jendela perpindahan kali ini selepas ketibaan pemain tengah Denmark, Morten Hjulmand dan pertahanan kiri Sepanyol, Alejandro Grimaldo.
Pada masa sama, Atletico turut menyaksikan pemergian penyerang berpengalaman, Antoine Griezmann yang berhijrah ke kelab Major League Soccer (MLS), Orlando City.
Di pentas antarabangsa, Lee sudah mengumpul 50 penampilan bersama Korea Selatan dengan aksi terakhirnya hadir pada Piala Dunia 2026, yang menyaksikan negaranya tersingkir di peringkat kumpulan.
























