KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan proses semakan dan pengesahan calon yang akan bertanding untuk merebut jawatan pada kongres FAM, September ini dengan telus, adil serta profesional.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan proses terbabit perlu dijalankan tanpa sebarang campur tangan atau layanan berbeza terhadap mana-mana calon yang layak untuk bertanding.
Malah, Muzakkir mahu proses terbabit dipantau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) supaya ia selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik dan komitmen terhadap ketelusan dalam pentadbiran bola sepak.
"Proses pencalonan bagi pemilihan kepimpinan FAM sudah pun ditutup pada Ahad lalu, jadi kini perhatian seluruh warga bola sepak negara tertumpu kepada proses semakan dan pengesahan calon yang akan menentukan kredibiliti pemilihan terbabit.
"Ketelusan bukan sahaja penting untuk menjaga integriti FAM, malah mampu mengembalikan keyakinan penyokong, pemain, ahli gabungan dan seluruh pemegang taruh bola sepak negara.
"Di saat bola sepak Malaysia sedang berusaha membina semula keyakinan masyarakat, setiap langkah dalam proses pemilihan kepimpinan FAM perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti," kata Muzakkir.
Dalam masa sama, Muzakkir turut menyatakan wajar untuk badan induk itu memaklumkan tempoh proses tapisan serta jangkaan tarikh pengumuman senarai calon yang layak bertanding kepada umum.
"Penjelasan yang jelas mengenai proses semakan termasuk pengesahan dengan agensi berkaitan seperti PDRM, SPRM dan Jabatan Insolvensi, akan mengelakkan sebarang spekulasi serta salah faham.
"Apa yang paling penting, siapa sahaja yang dipilih nanti mestilah benar-benar mempunyai keupayaan, kredibiliti, visi dan komitmen untuk memajukan bola sepak Malaysia, bukannya sekadar memenuhi jawatan semata-mata," katanya.
























