KOTA BHARU: Di sebalik berita gembira berjaya ke Liga Super, kem Kelantan Red Warrior (KRW) menerima khabar duka kematian anak ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, semalam.
Berita itu dikongsikan pihak pengurusan di laman sosial rasmi pasukan di Facebook, Kelantan Red Warrior FC yang merakamkan ucapan takziah kepada ketua jurulatih berpengalaman itu.
Menurut pihak pengurusan, Irfan menerima panggilan telefon berhubung anaknya meninggal dunia ketika dia sedang bersama skuad menjalani latihan.
"Sebaik terima panggilan telefon daripada ahli keluarga, coach (Irfan) terus bergegas pulang.
"Setakat ini kami belum mendapat maklumat lanjut berhubung punca kematian arwah anak beliau," kata pihak pengurusan ketika dihubungi hari ini.
Menurut perkongsian di laman sosial, arwah Nur Emmi Irfan Bakti, 48 adalah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Baru, Bagan Datuk, Perak.
Terdahulu, KRW dalam persiapan menghadapi Liga Super dengan tirai pembukaan menentang Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, 22 Ogos ini.
KRW turut berdepan dua lagi skuad elit, Johor Darul Ta'zim dan Kuching City FC pada 26 dan 29 Ogos yang bakal menguji kekuatan pasukan dalam misi mengembalikan kegemilangan Kelantan sebagai pasukan digeruni dalam arena bola sepak negara.
























