KUALA LUMPUR: Tiga 'orang bola' dijangka merebut kerusi panas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk itu yang dijadualkan berlangsung September ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga calon yang mengesahkan hasrat untuk bertanding bukanlah figura asing dalam kancah bola sepak tempatan dan sememangnya terbabit dengan bola sepak menerusi kapasiti tersendiri.
Sumber turut mendakwa ketiga-tiga calon memiliki pengaruh dan sokongan tersendiri sekali gus menyaksikan persaingan merebut jawatan nombor satu itu akan menjadi sengit dan sukar dijangka.
"Tiga calon terbabit bukanlah satu nama asing di mana kesemua mereka pernah terbabit secara langsung dalam barisan jawatankuasa eksekutif FAM.
"Salah seorang calon adalah Presiden Kehormat FAM sendiri, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
"Seorang lagi individu yang turut dicalonkan adalah bekas EXCO FAM yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar," kata sumber kepada BH Sukan.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan perubahan statut FAM mencetuskan pertarungan sengit atau 'peperangan besar' bagi perebutan jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu yang akan berlangsung September ini.
Pengecilan jumlah jawatan, pengurangan pencalonan minimum dan pertambahan ahli gabungan menjadi penyumbang kepada perkara itu dengan semua jawatan yang dipertandingkan termasuk presiden, naib presiden dan EXCO bakal membabitkan banyak penjuru.
Jawatan presiden dikatakan bakal membabitkan tiga penjuru dengan penghantaran pencalonan ditutup Ahad lalu dan menurut sumber, semua calon ketika ini sedang dalam proses saringan integriti.
Semua individu yang dicalonkan perlu melepasi saringan integriti oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM serta membabitkan tiga agensi iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL).
Kali terakhir jawatan Presiden FAM menyaksikan pertandingan adalah pada Kongres Pemilihan 2014 apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdepan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam saingan merebut jawatan tertinggi badan induk itu.
























