BH Online
Ringkasan Berita

Liverpool intai Vinicius secara percuma

LONDON: Liverpool dilaporkan berminat mendapatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior apabila pengendali baharu Andoni Iraola mahu memperkukuhkan skuadnya dengan pemain bertaraf dunia.
Liverpool intai Vinicius secara percuma

Liverpool mahu mendapatkan penyerang Real Madrid, Vinicius Junior secara percuma tahun depan. – Foto fail REUTERS

LONDON: Liverpool dilaporkan berminat mendapatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior apabila pengendali baharu Andoni Iraola mahu memperkukuhkan skuadnya dengan pemain bertaraf dunia.

Vinicius, 26, kini sedang menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan di bahagian dagu susulan aksi bersama Brazil di Piala Dunia.

Pemain sayap itu menjalani prosedur estetik bagi mengimbangi bentuk dagunya di Goiania selepas Brazil tersingkir di tangan Norway pada pusingan 16 terakhir.

Vinicius dijangka bersedia mengharungi musim baharu selepas menjalani pembedahan yang dilaporkan menelan kos antara £3,000 (RM16,350) hingga £14,000 (RM76,300).

Kini menurut wartawan Sepanyol, Ramon Alvarez de Mon, Liverpool meletakkan pemain itu dalam senarai sasaran mereka.

The Reds sedang mencari penyerang berprofil tinggi susulan pemergian pemain veteran, Mohamed Salah.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan Liverpool tidak bercadang mendapatkan Vinicius pada jendela perpindahan musim panas ini, sebaliknya berharap dapat menandatanganinya secara percuma pada 2027.

Rundingan kontrak baharu antara Real Madrid dan Vinicius dikatakan menemui jalan buntu dengan Liverpool kini mendahului kelab Liga Perdana Inggeris yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Alvarez de Mon berkata menerusi saluran YouTubenya: "Real Madrid berminat memperbaharui kontrak Vinicius dan Vinicius juga mahu kekal di Real Madrid.

"Itu pendirian rasmi kedua-dua pihak, tetapi setakat ini saya tidak mengetahui sebarang perkembangan bahawa perbezaan antara mereka sudah diselesaikan.

"Wakil Vinicius sudah tentu perlu menjalankan tugas mereka... untuk mengetahui pendirian kelab lain yang mungkin mahu menandatangani Vinicius, sama ada pada 2026 atau 2027. Kita terutamanya bercakap mengenai kelab Liga Perdana Inggeris.

"Dalam pertanyaan awal itu, ada satu kelab yang memberi maklum balas positif terhadap minat mendapatkan Vinicius, tetapi dari segi angka, ia lebih sesuai untuk 2027. Kelab itu adalah Liverpool.

"Jika Vinicius menjadi ejen bebas pada 2027, bukan sahaja kelab Liga Perdana akan memberi perhatian, malah saya yakin Bayern Munich dan PSG juga akan memantaunya.

"Saya semakin yakin pembaharuan kontrak pada musim panas ini sukar menjadi kenyataan.

"Sudah tentu, sejauh mana Vinicius selesa atau tidak selesa di bawah (Jose) Mourinho, prestasi pemain Brazil itu dan bagaimana pasukan berfungsi akan menjadi faktor yang sangat penting."

Vinicius dianggap antara pemain terbaik dunia dan bakal mengharungi musim penting di bawah kendalian Mourinho.

Selain Vinicius, Liverpool turut dikaitkan dengan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola, yang dilaporkan bernilai £100 juta (RM545 juta). – AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan