LOCOROTONDO, Itali: Penjaga gol Manchester City, Gianluigi Donnarumma sah bergelar suami kepada kekasih sejak zaman kanak-kanaknya Alessia Elefante dalam satu majlis perkahwinan mewah di kampung halamannya di Itali.
Pasangan itu disatukan di Gereja Chiesa Madre di San Giorgio Martire di Locorotondo.
Donnarumma mula mengenali Alessia, yang juga seorang pereka hiasan dalaman, pada 2016 di kampung halaman mereka di Castellammare di Stabia, berhampiran Naples.
Mereka turut dikurniakan seorang cahaya mata, Leo pada 2024.
Pasangan itu mengumumkan pertunangan mereka pada Mei lalu menerusi hantaran di Instagram dengan kapsyen: "Kontrak jangka panjang sudah ditandatangani."
Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa nama besar bola sepak dunia seperti Pep Guardiola, Erling Haaland, Sandro Tonali, Paolo Maldini dan Nicolo Barella.
Menariknya, Maldini dan Guardiola dilaporkan mengadakan perbincangan minggu ini mengenai jawatan ketua jurulatih Itali.

Bagaimanapun, Guardiola dikatakan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya sebelum membuat keputusan mengenai destinasi pengurusan seterusnya, sekali gus membuka ruang kepada Andrea Pirlo untuk mengambil alih tugas itu.
Haaland pula hadir bersama teman wanitanya, Isabel Haugseng Johansen.
Penyerang Norway itu terus menikmati cutinya selepas mencuri perhatian pada Piala Dunia apabila menjadi kegemaran penyokong di Amerika Syarikat.
Sepanjang kempen Norway hingga ke suku akhir, Haaland menambah 32.1 juta pengikut baharu di media sosial.
Dia kini sedang bercuti di Itali dan kelihatan mengunjungi kelab malam bersama pasangannya awal minggu ini.
Donnarumma menyertai Manchester City dari Paris Saint-Germain (PSG) musim panas lalu dengan nilai perpindahan £26 juta (RM141 juta) dan penjaga gol berusia 27 tahun itu membantu kelab berkenaan memenangi Piala FA serta Piala Liga pada musim sulungnya. – AGENSI
























