TRONDHEIM, Norway: Tiada Bruno Fernandes, Benjamin Sesko mahupun Amad Diallo.
Namun ketika tonggak utama Manchester United direhatkan di Trondheim, pemain muda berusia 19 tahun, Shea Lacey tampil mencuri perhatian dalam kemenangan bergaya 5-0 ke atas Rosenborg.
Lima gol dijaringkan, dengan empat daripadanya hadir menerusi produk akademi dan setiap seorang meraikan jaringan tidak rasmi pertama mereka di peringkat senior ketika menentang kelab paling berjaya Norway itu.
Lacey, Jacob Devaney, Harry Amass dan Ethan Williams masing-masing menemui sasaran, diapit dengan jaringan solo menarik Joshua Zirkzee ketika United terus memperkemaskan persiapan pramusim.
Pengendali United, Michael Carrick hanya tidak sempat menurunkan permata berusia 15 tahun, JJ Gabriel yang pasti melengkapkan kunjungan sempurna ke Norway.
Kehadiran Gabriel dalam skuad 25 pemain yang dibawa Carrick mencetuskan jangkaan dia akan muncul antara pemain termuda pernah beraksi bersama pasukan senior United.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila Carrick meneruskan perancangannya tanpa hampir semua pemain yang baru pulang daripada Piala Dunia.
Sesko turut tidak dibawa kerana mengalami kecederaan tulang kering.
Lacey, 19, menggalas peranan Fernandes di posisi nombor 10 dan gol sulung tidak rasminya di peringkat senior memperlihatkan kepada penyokong United sentuhan penyudah yang sudah sinonim dalam kalangan pemain akademi Carrington.
Pemain kelahiran Liverpool itu tenang mengawal bola, memperdaya benteng lawan sebelum melepaskan rembatan lencong menarik ke penjuru gol sambil menguasai permainan menentang jentera tengah Rosenborg yang sudah cergas kerana sedang mengharungi musim domestik.
Di hadapan suasana yang agak sepi dengan jumlah burung camar lebih banyak berbanding penyokong, Zirkzee pula menghasilkan detik istimewa menerusi gol solo berkualiti ketika United bangkit daripada kekalahan 0-1 kepada Wrexham di Helsinki. – AGENSI
























