MILAN: Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan bekas pemain tengah Itali, Andrea Pirlo untuk menjadi ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan menerusi kontrak selama empat tahun, lapor akhbar harian La Repubblica.
Dianggap antara pemain tengah terbaik dalam sejarah bola sepak, Pirlo membantu Itali menjuarai Piala Dunia 2006 selain menikmati karier cemerlang bersama Inter Milan, AC Milan dan Juventus.
Pengendali berusia 47 tahun itu kini membimbing Dubai United yang bersaing dalam Liga Divisyen Pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pirlo pernah mengendalikan Juventus pada musim 2020-21 dan menghadiahkan kelab Turin itu kejuaraan Piala Itali serta Piala Super Itali.
Persetujuan yang dilaporkan itu hadir beberapa jam selepas bekas pengurus Manchester City dan Barcelona, Pep Guardiola menolak tawaran untuk mengendalikan Itali, menurut sumber yang mengetahui perbincangan berkenaan kepada Reuters.
Jurulatih Sepanyol berusia 55 tahun itu mengadakan perbincangan mengenai jawatan ketua jurulatih Itali dengan Presiden FIGC, Giovanni Malago sebelum ini memberi bayangan kelonggaran dari segi kewangan boleh dipertimbangkan bagi calon berprofil tinggi sepertinya.
Itali sedang mencari ketua jurulatih baharu sejak Gennaro Gattuso meletakkan jawatan pada April lalu selepas juara dunia empat kali itu gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
FIGC turut cuba mendapatkan khidmat jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti.
Guardiola meninggalkan City pada hujung musim lalu selepas sedekad penuh gemilang apabila memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, termasuk rekod empat kejuaraan berturut-turut, selain tiga Piala FA, lima Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara.
Sebelum menyertai City pada 2016, Guardiola menikmati kejayaan besar bersama Barcelona dengan memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara dan tiga kejuaraan La Liga, sebelum menambah tiga gelaran Bundesliga ketika membimbing Bayern Munich.
Bola sepak Itali kini berdepan antara krisis paling besar dalam beberapa dekad dan pelantikan ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan dilihat sebagai langkah pertama dalam usaha lebih menyeluruh untuk membangunkan semula sistem pembangunan belia dan laluan bakat yang semakin merosot di negara yang menjadikan bola sepak sebagai sukan nombor satu. – REUTERS
























