LONDON: Pemain sayap Belanda, Crysencio Summerville melengkapkan perpindahan dari West Ham United ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal dalam urus niaga yang dilaporkan bernilai sehingga £60 juta (RM327 juta).
Pemain berusia 24 tahun itu beraksi dalam empat perlawanan pada Piala Dunia 2026, menjaringkan gol ketika peringkat kumpulan menentang Jepun dan Sweden.
Dia turut gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Belanda tewas kepada Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 32 terakhir.
Summerville menghabiskan dua musim bersama West Ham selepas menyertai kelab itu dari Leeds United pada 2024 dengan menjaringkan lapan gol dalam 56 penampilan.
Bagaimanapun, dia gagal membantu The Hammers mengelak daripada tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Di Al-Hilal, Summerville akan dibimbing jurulatih Simone Inzaghi dan menyertai barisan pemain bintang yang dibarisi bekas penyerang Perancis, Karim Benzema, bekas penyerang Liverpool, Darwin Nunez serta pemain tengah Portugal, Ruben Neves.
Summerville menjadi pemain kedua meninggalkan West Ham selepas pemain antarabangsa Portugal, Mateus Fernandes.
Fernandes menyertai Tottenham Hotspur awal bulan ini apabila kelab itu membayar yuran perpindahan rekod kelab sebanyak £85 juta (RM463 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 22 tahun itu. – AFP
























