MILAN: Harapan Itali untuk mendapatkan khidmat Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan tidak kesampaian apabila pengendali dari Sepanyol itu dilaporkan menolak tawaran berkenaan.
Menurut sumber, Guardiola mengadakan rundingan dengan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), namun memutuskan untuk tidak menerima jawatan berkenaan.
Presiden FIGC, Giovanni Malago sebelum ini memberi bayangan badan induk itu bersedia menawarkan pakej kewangan yang lebih fleksibel bagi mendapatkan jurulatih berprofil tinggi seperti Guardiola.
Itali kini giat mencari pengendali baharu selepas Gennaro Gattuso melepaskan jawatan pada April susulan kegagalan Azzurri layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Pengarah teknikal FIGC, Paolo Maldini, turut mendedahkan bahawa badan induk itu sebelum ini menghubungi pengendali Brazil, Carlo Ancelotti, sebelum mengadakan perbincangan dengan Guardiola.
Guardiola meninggalkan Manchester City pada hujung musim selepas mencipta era kegemilangan menakjubkan bersama kelab berkenaan.
Sepanjang tempoh itu, Guardiola menghadiahkan enam gelaran Liga Perdana Inggeris, termasuk empat kejuaraan berturut-turut, selain tiga Piala FA, lima Piala Liga dan satu trofi Liga Juara-Juara.
Sebelum menyertai City pada 2016, Guardiola turut menempa kejayaan besar bersama Barcelona dengan memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara dan tiga kejuaraan La Liga, selain membawa Bayern Munich meraih tiga gelaran Bundesliga berturut-turut.
























