BRUSSELS: Belgium melantik bekas pemain Belanda, Mark van Bommel sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan dengan kontrak sehingga Euro 2028.
Persatuan Bola Sepak Belgium mengesahkan pelantikan jurulatih berusia 49 tahun itu, yang mengambil alih tugas daripada Rudi Garcia selepas kontraknya tidak disambung walaupun berjaya membawa Belgium mara ke suku akhir Piala Dunia awal bulan ini.
Van Bommel hadir dengan reputasi kukuh terutama ketika mengendalikan Antwerp apabila membantu kelab itu mencipta sejarah merangkul kejuaraan liga dan piala domestik pada musim 2022-23.
Kejayaan itu, selain keupayaan taktikal serta kemahiran mengurus pemain, menjadi antara faktor utama Belgium memilih bekas pemain tengah itu bagi menerajui skuad kebangsaan.
Aspek taktikal menjadi perhatian utama selepas Garcia sebelum ini menerima kritikan berhubung pendekatan permainan Belgium.
Selain Antwerp, Van Bommel turut pernah mengendalikan PSV Eindhoven dan VfL Wolfsburg dalam kerjaya kejurulatihannya.
Ketika bergelar pemain, Van Bommel mengumpul 79 penampilan bersama Belanda dan membantu negaranya mara ke final Piala Dunia 2010.
Van Bommel juga pernah menyarung jersi beberapa kelab gergasi Eropah termasuk Barcelona, Bayern Munich, AC Milan dan PSV Eindhoven.
























