STOCKHOLM: Persatuan Bola Sepak Norway (NFF) sedang mempertimbangkan untuk membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Etika FIFA susulan keputusan kontroversi menggantung pelaksanaan hukuman terhadap penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun, pada Piala Dunia 2026.
Jurucakap NFF memaklumkan lembaga persatuan itu akan membuat keputusan pada mesyuarat 6 Ogos sama ada mengemukakan aduan baharu atau menggabungkannya dengan satu lagi kes berkaitan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Kontroversi itu tercetus selepas Balogun dikenakan penggantungan satu perlawanan akibat kad merah ketika membantu AS menewaskan Bosnia 2-0 pada pusingan 32 terbaik, sekali gus menyebabkannya terlepas aksi 16 terbaik menentang Belgium.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump, dilaporkan menghubungi Infantino dan menggesa hukuman itu dikaji semula sebelum FIFA menggantung pelaksanaan hukuman berkenaan selama setahun.
Keputusan itu mencetuskan kritikan meluas walaupun AS akhirnya tersingkir kepada Belgium pada pusingan 16 terbaik.
"NFF akan meminta Infantino dan FIFA mengakui bahawa keputusan membatalkan hukuman itu adalah satu kesilapan," kata jurucakap Presiden NFF, Lise Klaveness.
Sebelum ini, NFF turut menyokong aduan dikemukakan pertubuhan hak asasi manusia, FairSquare, kepada Jawatankuasa Etika FIFA berhubung penganugerahan Anugerah Keamanan kepada Trump yang didakwa melanggar prinsip berkecuali politik badan induk bola sepak dunia itu.
Menurut NFF, lembaga pengarah akan memutuskan sama ada kedua-dua isu itu akan digabungkan dalam satu aduan atau dikemukakan secara berasingan.
Setakat ini, FIFA masih belum mengulas mengenai perkara berkenaan.
Hubungan rapat antara Infantino dan Trump menjadi perhatian sepanjang Piala Dunia 2026, dengan ramai pihak menggesa Presiden FIFA itu memberi tumpuan kepada bola sepak dan mengelakkan campur tangan politik.
Presiden La Liga, Javier Tebas turut mengkritik keputusan menggantung hukuman Balogun dan menyifatkan tindakan itu sebagai isu yang amat serius.
"Penggantungan hukuman pemain Amerika itu adalah perkara yang amat serius.
"Mereka bernasib baik Belgium menyingkirkan AS kerana jika tidak, kes ini mungkin boleh menyebabkan Infantino kehilangan jawatannya," katanya.
























