BH Online
Ringkasan Berita

Rahsia percaturan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Ketiadaan ramai barisan bintang dalam skuad kebangsaan ketika ini menyaksikan percaturan yang bakal dilakukan ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe dalam aksi sulung Piala ASEAN 2026 berdepan Myanmar, esok menjadi tumpuan utama seluruh peminat bola sepak tanah air.
Rahsia percaturan Cheng Hoe

Pemain Harimau Malaya ketika sesi persiapan dan latihan menjelang kempen Piala ASEAN 2026.

KUALA LUMPUR: Ketiadaan ramai barisan bintang dalam skuad kebangsaan ketika ini menyaksikan percaturan yang bakal dilakukan ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe dalam aksi sulung Piala ASEAN 2026 berdepan Myanmar, esok menjadi tumpuan utama seluruh peminat bola sepak tanah air.

Jika sebelum ini penyokong sudah boleh menjangka tonggak seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Nooa Laine, Stuart Wilkin dan La'Vere Corbin-Ong akan berada dalam skuad utama, namun ketiadaan mereka menyaksikan senarai kesebelasan utama Harimau Malaya masih misteri atau sukar diramal.

Persoalan utama yang bermain di fikiran banyak pihak ketika ini adalah siapa pilihan utama Cheng Hoe untuk menggalas misi besar Harimau Malaya memburu kemenangan penting dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon.

Melihat kepada senarai 25 pemain yang terbang ke Yangon, semalam, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal menjadi antara paling mendapat tumpuan apabila bintang yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyertai Harimau Malaya buat kali pertama.

Namun, pemain tengah berusia 28 tahun itu boleh dianggap masih dalam proses menyesuaikan diri selepas baru tiba beberapa hari lalu dan terdapat kemungkinan dia bakal digunakan sebagai pemain simpanan.

Ketiadaan Zhafri Yahya pada saat akhir bagaimanapun dilihat membuka peluang lebih besar buat Wan Kuzain untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya bagi aksi berdepan Myanmar nanti.

"Seperti yang anda katakan, ramai pemain utama sebelum ini tiada dalam skuad kebangsaan kali ini. Jadi, sekarang terpulang kepada kami dan sesiapa sahaja untuk bangkit. Mungkin saya, mungkin orang lain. Anda sebenarnya tidak tahu siapa dan inilah masa untuk mencipta nama," kata Wan Kuzain.

Selain Wan Kuzain, nama Mohamadou Sumareh dan Ibrahim Manusi turut menjadi bualan peminat dan tidak mustahil kedua-dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan menjadi pilihan Cheng Hoe dalam membentuk kesebelasan utama.

Meskipun sudah lama tidak bersama skuad kebangsaan, namun pengalaman Sumareh bakal menjadi kekuatan untuk diletakkan dalam skuad utama dengan Cheng Hoe tampak tidak banyak pilihan selepas ketiadaan pemain sayap Arif Aiman, Faisal, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dalam skuad kali ini.

Ibrahim pula menjadi tumpuan peminat yang mahu melihat aksinya kerana selepas tampil cemerlang bersama Sri Pahang dalam aksi final Piala Malaysia, April tahun lalu, pemain berusia 25 tahun itu agak tenggelam dalam kancah Liga Malaysia.

Pemain naturalisasi, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos dijangka akan mengisi bahagian serangan dan tengah, manakala Rodney Celvin dan Ubaidullah Shamsul Fazili antara pilihan di bahagian pertahanan.

Apa yang pasti Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah kemampuan Myanmar dengan Cheng Hoe bakal berdepan 'perang taktikal' dengan bekas jurulatih Hong Kong dan Korea Utara, Jorn Andersen yang baru dilantik mengemudi skuad Chinthe, awal bulan ini.

Pengendali dari Norway itu terkenal dengan pendekatan yang menekankan disiplin dan intensiti tinggi serta kepakaran beliau dalam membentuk organisasi pasukan dijangka memberi impak kepada Myanmar dalam memburu tempat ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 2016.

Piala ASEAN 2026

Kumpulan B

Esok

Myanmar mln Malaysia

(Stadium Thuwunna, Yangon, 6 ptg)

Ranking FIFA

Malaysia - 136

Myanmar - 158

Rekod pertemuan

21 Disember 2022

Myanmar 0 Malaysia 1

24 November 2018

Malaysia 3 Myanmar 0

29 Ogos 2017

Myanmar 1 Malaysia 0

26 November 2016

Myanmar 1 Malaysia 0

28 Mei 2016

Myanmar 0 Malaysia 0

23 November 2014

Malaysia 0 Myanmar 0

18 Jun 2011

Malaysia 2 Myanmar 0

18 November 2008

Myanmar 4 Malaysia 1

23 Oktober 2008

Malaysia 4 Myanmar 0

Video Terkini

Berita Berkaitan