BH Online
Ringkasan Berita

Harimau Malaya sedia gempur Myanmar

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue menaruh harapan besar untuk skuad negara dapat membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan apabila berdepan Myanmar pada aksi sulung Kumpulan B, esok.
Harimau Malaya sedia gempur Myanmar

Skuad Harimau Malaya akan berdepan Myanmar dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Piala ASEAN 2026, esok. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue menaruh harapan besar untuk skuad negara dapat membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan apabila berdepan Myanmar pada aksi sulung Kumpulan B, esok.

Josue yang akan memakai lilitan kapten dalam aksi di Stadium Thuwunna, Yangon itu menjelaskan suasana dalam kem negara ketika ini amat positif dengan semua pemain menunjukkan komitmen tinggi demi mendapatkan keputusan terbaik.

Malah, penyerang itu berkata, semua pemain memahami apa yang dimahukan jurulatih, Tan Cheng Hoe dan berharap segala perancangan atau percaturan yang dilakukan dapat dijelmakan di atas padang.

"Semangat dan suasana dalam pasukan memang sangat baik. Kami dapat melihat semua pemain menikmati setiap sesi latihan dan memberi perhatian terhadap segala arahan yang disampaikan jurulatih.

"Saya juga melihat pasukan semakin serasi antara satu sama lain. Saya percaya kami mampu mendapatkan keputusan yang baik dalam kejohanan ini, terutama dalam perlawanan esok kerana ia adalah permulaan yang sangat penting.

"Saya berharap esok kami dapat menterjemahkan semuanya di atas padang dan boleh mengutip mata penting untuk dibawa pulang ke Malaysia," katanya pada sidang media, hari ini.

Josue bagaimanapun mengakui bahawa Harimau Malaya tidak akan berdepan tugas mudah dengan Myanmar memiliki sedikit kelebihan apabila beraksi di halaman sendiri.

"Jurulatih banyak membimbing kami dalam membuat persiapan menghadapi perlawanan pertama ini. Jadi kami berharap esok kami benar-benar bersedia untuk berdepan Myanmar dan cuba mengutip mata.

"Sudah tentu ia bukan perlawanan yang mudah, tetapi kami akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan kami membawa pulang kemenangan pertama buat Malaysia," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan