KUALA LUMPUR: Perubahan statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencetuskan pertarungan sengit atau 'peperangan besar' bagi perebutan jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu yang akan berlangsung September ini.
Pengecilan jumlah jawatan, pengurangan pencalonan minimum dan pertambahan ahli gabungan menjadi penyumbang kepada perkara itu dengan semua jawatan yang dipertandingkan termasuk presiden, naib presiden dan EXCO bakal membabitkan banyak penjuru.
Jawatan presiden dikatakan bakal membabitkan tiga penjuru dengan penghantaran pencalonan ditutup Ahad lalu dan menurut sumber, semua calon ketika ini sedang dalam proses saringan integriti.
Semua individu yang dicalonkan perlu melepasi saringan integriti oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM serta membabitkan tiga agensi iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL).
Sumber itu mendakwa, tiga calon bagi jawatan presiden bukan orang baharu, sebaliknya orang lama atau individu yang pernah memegang jawatan dalam FAM sebelum ini.
"Difahamkan tiga calon bakal bersaing merebut jawatan presiden. Bagaimanapun pencalonan itu masih belum dapat disahkan dan perlu menunggu FAM membuat pengumuman rasmi. Semua senarai calon ketika ini dalam proses saringan," kata sumber itu kepada BH Sukan.
Kali terakhir jawatan Presiden FAM menyaksikan pertandingan adalah pada Kongres Pemilihan 2014 apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdepan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam saingan merebut jawatan tertinggi badan induk itu.
Bukan sahaja jawatan presiden, malah pertarungan merebut jawatan naib presiden dan EXCO juga dikatakan bakal menyaksikan persaingan hebat dan membabitkan pertandingan banyak penjuru.
Bagi jawatan naib presiden 1, ia dikatakan akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan naib presiden 3, manakala naib presiden 2 menjadi kerusi automatik kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Tujuh kerusi EXCO yang dipertandingkan turut menjadi perebutan hangat dengan berbelas calon dikatakan bakal merebut jawatan itu dan berdasarkan statut baharu yang diluluskan pada 4 Jun lalu, kerusi EXCO dibahagikan dengan penetapan tiga kerusi untuk Persatuan Bola Sepak (FA).
Baki empat kerusi EXCO diberikan dua untuk Kelab Bola Sepak (FC), satu kerusi untuk pakar (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia atau Persatuan Pengadil) serta satu kerusi untuk wanita.
























