KUALA TERENGGANU: Bekas pertahanan import Terengganu FC (TFC), Pape Diakite kini berada dalam perancangan skuad itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), pemain kelahiran Senegal itu kini hanya menunggu proses dokumentasi sebelum namanya diumumkan secara rasmi menyarung jersi skuad Penyu itu.
Jika menjadi kenyataan, tonggak tinggi lampai berusia 33 tahun itu bakal menjadi pemain keempat yang dipanggil semula menyarung jersi skuad itu selepas Habib Haroon, Manuel Ott dan Jordan Mintah.
"Proses dokumentasi untuk 'merekrut' bekas pemain import TFC itu kini berada fasa akhir selepas semua rundingan berjalan dengan lancar.
"Jadi jika semua proses selesai termasuk visa perjalanan Diakite, pemain itu dijangka bakal mendarat di Kuala Terengganu dalam masa terdekat.
"Kami harap peminat bersabar dan menunggu pengumuman rasmi kelab paling lewat awal bulan depan, itupun jika perancangan tidak berubah," ujar sumber itu kepada NSTP ketika dihubungi.
Terdahulu nama pemain berketinggian 1.93 meter itu berlegar dalam laman sosial dan dikatakan menjadi pilihan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain selepas beraksi cemerlang bersama skuad Penyu pada musim 2022 bawah kendaliannya.
Peminat melihat kepulangan bekas 'kereta kebal' TFC jika menjadi kenyataan mampu memberikan suntikan terbaik buat pasukan kerana dia bukanlah nama asing buat peminat setia skuad itu.
























