BH Online
Ringkasan Berita

Bellingham wakil tunggal England dalam kesebelasan terbaik Piala Dunia

LONDON: Jude Bellingham muncul satu-satunya pemain England yang dipilih dalam kesebelasan terbaik rasmi Piala Dunia 2026 yang diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bellingham wakil tunggal England dalam kesebelasan terbaik Piala Dunia

Pemain England, Jude Bellingham berterima kasih kepada penyokong selepas menerima pingat gangsa susulan kemenangan 6-4 ke atas Perancis pada perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Miami, Miami Gardens, Florida hujung minggu lalu. – Foto AFP

LONDON: Jude Bellingham muncul satu-satunya pemain England yang dipilih dalam kesebelasan terbaik rasmi Piala Dunia 2026 yang diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

England menamatkan kempen di tangga ketiga selepas menewaskan Perancis dalam penentuan tempat ketiga Sabtu lalu, sekali gus mencatat pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia sejak muncul juara pada 1966.

Bellingham, 23, turut melakar sejarah apabila meledak tujuh gol untuk muncul penjaring terbanyak England dalam satu edisi Piala Dunia.

Bintang Real Madrid itu disenaraikan bersama empat lagi pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris.

FIFA turut memilih pertahanan kanan Tottenham Hotspur, Pedro Porro serta tonggak Manchester City, Rodri yang memainkan peranan penting membantu Sepanyol muncul juara dunia.

Pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez dan penyerang Manchester City, Erling Haaland turut tersenarai selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Argentina dan Norway.

Pertahanan kiri Marc Cucurella, yang melengkapkan perpindahan bernilai £51.8 juta (RM282 juta) ke Real Madrid bulan lalu, dipilih sebagai pertahanan kiri terbaik kejohanan.

first24726b
Kesebelasan Terbaik Piala Dunia FIFA 2026 seperti yang dikeluarkan FIFA. – Foto AGENSI

Dua pemain Bayern Munich, Dayot Upamecano dan Michael Olise turut mengisi kesebelasan terbaik itu.

Mereka disertai rakan sepasukan dari Perancis, Kylian Mbappe yang memenangi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak kejohanan.

Lionel Messi melengkapkan jentera serangan selepas membantu Argentina mara ke pentas final.

Namun kejutan terbesar adalah keputusan tidak memilih penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.

Simon memainkan peranan penting membantu La Roja menjulang trofi Piala Dunia, termasuk mencatat rekod tanpa bolos pada final dan hanya melepaskan satu gol sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, penjaga gol Athletic Bilbao itu diketepikan apabila FIFA memilih Vozinha sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Vozinha, yang berstatus ejen bebas ketika kejohanan bermula, mencipta sensasi apabila membantu Cape Verde mara ke pusingan 32 terakhir dan menjadi antara watak paling mencuri perhatian pada Piala Dunia kali ini. – AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan