LISBON: Cristiano Ronaldo meninggalkan Piala Dunia keenam dan terakhirnya dengan tenang selepas berasakan sudah memberikan segala-galanya buat Portugal, namun skuad kebangsaan negara itu kini berdepan persoalan lebih besar iaitu bagaimana menggantikan seorang pemain yang lebih besar daripada jenama pasukan itu sendiri.
Ronaldo mengesahkan selepas Portugal tersingkir kepada Sepanyol dia tidak akan beraksi pada satu lagi Piala Dunia, namun masih belum mengumumkan persaraan sepenuhnya daripada bola sepak antarabangsa sekali gus membuka ruang untuk terus beraksi di bawah ketua jurulatih baharu, Jorge Jesus.
Peralihan itu dijangka bukan mudah dari sudut prestasi di tengah padang.
Ronaldo adalah penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak lelaki antarabangsa, pemain pertama yang menjaringkan gol pada enam edisi Piala Dunia dan sudah mewakili Portugal selama lebih dua dekad.
Namun pemergiannya juga dikhuatiri menjejaskan perhatian media, pendapatan penajaan serta pengaruh global yang sentiasa mengiringinya.
Pakar pemasaran, Daniel Sa berkata tiada pemain lain yang mampu menandingi nilai komersial dimiliki Ronaldo.
"Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakannya, tetapi daripada sudut jenama, Ronaldo jauh lebih besar berbanding keseluruhan pasukan kebangsaan Portugal dan banyak lagi pasukan lain," katanya kepada agensi berita Lusa.
Nilai Ronaldo kepada Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF) bukan sekadar berdasarkan prestasinya ketika hari perlawanan.

Pengaruh globalnya membantu Portugal menarik penaja, memeterai pelbagai perjanjian komersial dan meningkatkan minat terhadap pasukan kebangsaan itu di pasaran yang jauh di luar bola sepak Eropah.
Jutaan penyokong yang mengikuti setiap pergerakan Ronaldo turut menjadi penyokong pasukan kebangsaan Portugal.
Sa percaya tahap kebergantungan itu hanya akan benar-benar dirasai apabila penyerang Al-Nassr itu tidak lagi bersama skuad kebangsaan.
"Saya bukan membuat analisis dari sudut bola sepak tetapi dari sudut jenama.
"Ia akan menjadi satu tragedi apabila dia pergi kerana orang ramai masih belum memahami betapa besarnya perhatian media yang akan hilang. Kami akan jatuh seperti berada di atas eskalator yang sedang bergerak laju ke bawah.
"Dialah individu yang membantu mereka menandatangani begitu banyak kontrak dan menjana pendapatan besar selama lebih 20 tahun."
Portugal tidak ketandusan pemain berkualiti dengan Vitinha, Joao Neves dan Rafael Leao dilihat mampu memimpin era baharu.
Namun tiada seorang pun memiliki pengaruh komersial yang menghampiri Ronaldo.

Justeru, cabaran FPF adalah membentuk identiti baharu secara berpasukan dan bukannya mencari seorang pemain untuk menjadi 'Ronaldo' yang seterusnya.
Laporan sebelum ini menyebut Ronaldo mungkin diberi penampilan perpisahan ketika kempen Liga Negara-Negara UEFA menentang Wales di Lisbon.
Bagaimanapun, Ronaldo mahupun pihak persekutuan belum mengesahkan tarikh penampilan terakhirnya.
Sebaliknya, Jesus berkata keputusan itu bergantung kepada kehendak Ronaldo serta tahap kecergasannya.
"Cristiano adalah simbol bola sepak Portugal, skuad kebangsaan dan negara ini dan perkara itu akan kekal dalam sejarah.
"Selagi dia masih mempunyai kemampuan untuk menyertai skuad kebangsaan, saya akan melakukan apa yang saya fikir terbaik untuk pasukan," katanya.
Ronaldo masih mempunyai kontrak bersama Al-Nassr dan terus memburu jaringan ke-1,000 dalam kariernya, sekali gus memberi bayangan karier di peringkat kelab akan diteruskan walaupun era bersama skuad kebangsaan berakhir.
Portugal mungkin mampu mencari pengganti di posisi, mengagihkan semula tanggungjawab menjaringkan gol dan melantik kapten baharu.
Namun menggantikan aura serta tarikan global yang dibawa Ronaldo mungkin menjadi tugas yang tidak mampu dilakukan mana-mana jurulatih atau bintang baharu. – AGENSI
























