BUENOS AIRES: Presiden Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), Claudio Tapia menggesa penyokong skuad kebangsaan menerima hakikat kekalahan kepada Sepanyol pada final Piala Dunia dan tidak terpengaruh dengan pelbagai teori konspirasi yang tular selepas perlawanan itu.
Kekalahan 0-1 kepada Sepanyol hasil jaringan Ferran Torres mencetuskan pelbagai dakwaan di media sosial, termasuk tuduhan campur tangan pihak luar, FBI dan ancaman terhadap keluarga pemain, walaupun Sepanyol jelas menguasai perlawanan.
Sebelum ini, jurulatih Lionel Scaloni dan pembantunya Roberto Ayala sudah mengakui keunggulan Sepanyol serta menolak segala dakwaan tidak berasas yang tersebar di Argentina.
Kini Tapia turut tampil menjelaskan pendiriannya menerusi satu kenyataan di media sosial, sekali gus menafikan spekulasi termasuk dakwaan beliau sendiri ditahan FBI.
"Jangan terpedaya dengan pembohongan. Mereka lebih baik daripada kami dan mereka menewaskan kami secara adil.
"Kami tidak mampu menewaskan Sepanyol. Mereka lebih unggul, mereka menang dengan selayaknya dan kita perlu mengakuinya. Dalam sukan, kita juga belajar menerima kekalahan dengan kebesaran jiwa yang sama seperti ketika meraikan kemenangan.
"Ya, kami tewas di final. Tetapi kumpulan pemain ini sebelum itu sudah menghadiahkan kegembiraan yang amat besar kepada negara. Argentina sudah pun meraikannya kerana pasukan ini sekali lagi membuktikan mengapa mereka begitu bermakna kepada rakyat.
"Sudah tentu kekalahan ini menyakitkan. Ia menyakitkan kerana kami sentiasa mahu menang, kerana kami adalah pasukan paling berjaya dalam sejarah dan tempat kedua tidak pernah memuaskan hati kami.

"Ia menyakitkan kerana kami sentiasa berjuang hingga ke penghujung dan kami masih antara dua pasukan terbaik di dunia.
"Tetapi cuba berhenti seketika dan fikirkan pengorbanan pemain, barisan kejurulatihan serta setiap individu yang menghabiskan lebih 50 hari berjauhan daripada keluarga dengan satu matlamat iaitu mewakili Argentina sebaik mungkin.
"Kami adalah rakyat Argentina. Kami bersaing dengan semangat juang, keghairahan dan sepenuh hati. Kami memberikan segala-galanya dalam setiap sesi latihan dan setiap perlawanan.
"Kami juga mewakili seluruh Amerika Selatan dengan penuh rasa bangga. Kami mempertahankan warna, bendera dan negara kami di setiap gelanggang di seluruh dunia.
"Jadi jangan terpedaya dengan pembohongan atau kempen yang hanya bertujuan menggugat kestabilan. Cukuplah cubaan memburukkan mereka yang sudah memberikan begitu banyak kepada bola sepak kami.
"Sekarang adalah masa untuk berterima kasih, berdiri bersama mereka dan menghargai pemain-pemain ini yang sekali lagi memberikan segala-galanya demi jersi negara.
"Kempen memburukkan akan berlalu. Namun komitmen, kerja keras dan semangat skuad kebangsaan akan kekal selama-lamanya.
"Tiada alasan di sini. Bola sepak ditentukan di tengah padang. Skuad kebangsaan ini akan terus mewakili Argentina dengan kebanggaan seperti yang sentiasa mereka lakukan," katanya. – AGENSI
























