LONDON: Arsenal dilaporkan bersedia menawarkan Viktor Gyokeres sebagai sebahagian daripada urus niaga pertukaran bagi mendapatkan penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez.
Alvarez sebelum ini sudah menjelaskan dia mahu meninggalkan Atletico Madrid pada jendela perpindahan musim panas ini.
"Saya sudah bercakap dengan pihak yang perlu saya bercakap di Atletico dan saya fikir perpindahan adalah pilihan terbaik untuk semua pihak. Saya mahu merealisasikan impian saya.
"Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai perkara ini, tetapi saya juga tidak boleh menyembunyikannya. Saya cuba menjadi seorang yang jujur," kata Alvarez ketika Piala Dunia bulan lalu.
Barcelona kekal destinasi pilihan utama penyerang Argentina itu, namun Atletico tidak berpuas hati dengan usaha dilakukan pencabar La Liga mereka itu dan kini enggan menjual Alvarez kepada kelab berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Atletico, Miguel Angel Gil Marin minggu lalu menegaskan kelab itu tidak akan melepaskan Alvarez walau pada sebarang nilai perpindahan.
"Saya tidak ragu-ragu Atletico adalah tempat terbaik untuk Julian dan Julian adalah penyerang paling sesuai buat Atletico Madrid.
"Kami mahu dia terus kekal bersama kami. Kami tidak mahu menjualnya. Kami sudah menolak tawaran 100 juta euro (RM466 juta) dan kami juga tidak akan menerima tawaran 150 juta euro (RM699 juta) atau 200 juta euro (RM932 juta)," katanya.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dilaporkan sudah lama mengagumi Alvarez dan mahu membawa bekas penyerang Manchester City itu ke Stadium Emirates bagi memperkukuh jentera serangan menjelang musim baharu.
Menurut The Times, Arsenal bersedia berbelanja besar untuk mendapatkan pemain bertaraf elit pada musim panas ini dan sanggup menawarkan perjanjian pertukaran yang membabitkan Gyokeres bagi memujuk Atletico melepaskan Alvarez. – AGENSI
























